Halaman

Isnin, 24 Disember 2012

Blogger Paling Santai 2012: Cenderahati Pertama Santai Leeza




1. Kontes ni seperti serampang dua mata. Kerja 2 dalam 1. Sebenarnya dah lama aku nak buat satu entri pujian mengenai blog Santai Leeza di atas kegigihannya menjadi salah seorang blogger yang berjaya. Harapnya dengan kemasukan aku yang juga sebagai kawan sekelasnya, tidak membuatkan cik Leeza bersifat bias. He he

2. Aku antara follower awal blog Leeza, sedang waktu itu aku lebih awal setahun (rasanya) mempunyai blog. Dan, untuk makluman, tahun demi tahun, blog aku masih sama saja jumlah followernya! Sedang cik santai Leeza ni dah semakin berkembang. Di situ kepujian yang mahu aku beri, Leeza seorang yang sangat komited dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu, apalagi untuk menyebarluaskan empayar blognya. (Mohon Leeza jangan kembang!)

3. Ini kontes pertama. Dan mungkin yang terakhir. Kalau tak menang, cukuplah entri ini sebagai dorongan dan sokongan daripada seorang kawan. Semoga blog Santai Leeza terus berkembang dan terus menulis dengan penuh kesantaian. Santai-santai juga, tapi harapnya tetap menulis sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada pembaca, amnya. 

4. Banner Cik Santai Leeza ada kapal terbang. Aku syak, Leeza akan jauh terbang ke Daerah Borneo untuk mengajar nanti. (^_^)

5. Untuk terakhir kali, minta maaf dan terima kasih sepanjang kita berkawan. Dan kita akan terus berkawan sama ada di ruangan maya dan di dunia realiti. (kontes dah jadi macam jejak kasih..haha) 

Semoga terus sukses!

Sutan Baginda: Politikus yang bernafsu


Sutan Baginda, seorang politikus. Beristeri dua dan punya kekasih gelap. Uji, Dahlia, dan Fidah. Tiga perempuan ini menjadi serampang tiga mata. Uji berguna untuk mengajar Sutan Baginda akan hal-hal agama, Dahlia mengajarnya membentuk peribadi intelektual - berfalsafah, berteori tentang glory dan power. Dan kekasih gelap Sutan, Fidah - penyanyi The Sacred Sucker yang digunakan Sutan untuk mewujudkan skandal dengan musuh politiknya - Nirwan, pemimpin kuku besi.

Sutan Baginda bernafsu besar. Bernafsu terhadap perempuan dan kekuasaan. Cerita ini nampak berterus terang tetapi terselit juga kiasan yang mudah difaham berkaitan bab-bab di atas ranjang. Atau lebih tepat lagi, perbincangan Sutan Baginda bersama perempuan serampang tiga mata dalam mendapatkan kekuasaan politik ketika sedang bernafsu di atas ranjang. 

Tetapi inti penceritaan jelas menunjukkan politik itu sangat kotor. Sutan Baginda itu simbol politikus munafik yang bertopengkan keagamaan. Menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis untuk menyakinkan rakyat. Menggunakan falsafah kotor, tonjolan kebijaksanaan untuk menjatuhkan pihak lawan. Perjuangan mendapatkan kuasa yang lebih menjijikkan lagi ialah mewujudkan konspirasi skandal. Nah, inilah politik kehaiwanan!

Ada beberapa ayat yang boleh difikir-direnung:

"Politik ini kotor, Fidah. Lebih kotor dari apa yang kita buat sekarang ini lagi." - m.s 45

"Tuan-tuan dan puan-puan! Kita perlu beranarkis dan bertirani dan beroligarki. Juga autokrasi militan. Juga teokrasi. Pergi jahanam saja pada marga-marga monarki ini kerana mereka hanya milik glory saja, Hebat dan nampak cantik tapi kosong dalam kekuasaan...." m.s 103

Novel ini kali pertama dicetak pada tahun 1989. Sepertinya realiti politik dulu dan kini nampak lebih kurang. Apakah  politik negara ini masih belum matang? Kata SN Shahnon Ahmad, "Politik bukan lagi amanah yang sewajibnya dijaga dan disanjung tetapi politik sudah menjadi jenis nafsu ammarah yang hanya mengejar kekuasaan untuk mengisi perut."

Atas kerana itu, tertulisnya novel yang berbisa ini.



Isnin, 3 Disember 2012

Kawan




Seorang kawan yang sudah lama mendiam. Tiba-tiba muncul meminta pertolongan. Dan, setelah diberi pertolongan, dia kembali diam tanpa sebarang ucapan.

Kawan sebegini, hanya akan timbul bila mahu meraih keuntungan diri.

Tunggulah beberapa ketika. Suaranya kembali bersisa -  minta selamatkannya dari celaka.




Ahad, 4 November 2012

Catatan Penglipur Lara Sang Majistret


Geli perut ketika membaca catatan bekas majistret ini. Catatan pengalaman yang sangat lucu tetapi  terselitnya nilai dan pengajaran untuk dihayati pembaca. Tidak ketinggalan, catatan ini turut menyelitkan ilmu dalam penulisannya yang santai. 
Antara ilmu yang cukup berkesan dan sedikit 'ngeri' ialah catatan kisah di penjara Pudu. Kisahnya pada tahun 1986 ketika majistret ini ditugaskan untuk menyaksikan prosedur hukuman sebatan bagi kes rogol. Sebenarnya pesalah bagi kes rogol bukan disebat di bahagian punggung, tetapi di pinggul, yakni bahagian antara pinggang dan bahagian atas punggung! Prosedurnya bermula dengan pemeriksaan kesihatan oleh doktor yang bertauliah, dan selepas dipastikan bahawa pesalah sihat untuk menerima sebatan, barulah prosedur yang seterusnya dijalankan. 

Ngeri untuk membayangkan cebisan daging yang melayang ditibai rotan sebesar jari telunjuk. Selepas 2-3 kali sebatan, pesalah akan dibaringkan, kemudian diberi rawatan oleh doktor. Kuasa untuk memberhentikan hukuman sebatan terletak pada tangan seorang doktor sama ada memastikan 'pesakitnya' menyambung azab sebatan atau ditangguhkan pada masa lain.

Pengalaman lain yang dicatat ialah pengalaman ketika penulis menjadi majistret di negeri Kelantan. Penulis menceritakan bagaimana beliau mengalami masalah berkomunikasi dalam dialek kelantan dan pengalaman menangani kerenah individu di kandang pesalah (mahkamah).

Bekas majistret ini kini aktif menulis skrip TV. Pasti menarik andai pengalamannya itu turut dibukukan.

Khamis, 1 November 2012

Twitter


140 aksara
kicau padat bermakna
ada yang mengarut
ada yang mencarut
ada yang puitis
ada yang terguris
ada yang merapu
ada yang melulu
ada yang tersendiri
ada yang peribadi

hanya kerana 140 aksara
kicau-kicau berbunyi dalam satu-satu masa
hanya kerana 140 aksara
timbul bahasa asing mengundang loya
hanya kerana 140 aksara
maklumat lebih cepat daripada berita

dan hanya kerana 140 aksara
manusia umpama burung di udara
terbang dan berkicau bebas di awan maya.


Nota: twitter saya, @FarhanaSukre

Isnin, 29 Oktober 2012

Puisi yang Kucari

Puisi yang kucari detik ini
hanya perlu bait-bait bererti
tanpa aksara rumit payah
tanpa kata abstrak lewah
tanpa bunga bahasa dan jargon susah.

Dalam rangkap puisi itu
aksaranya meresap
katanya merentap
maknanya meruap
menggugah dalam jiwa kedap.

Aku mencari puisi magis
daripada tinta penyair tulus
puitisnya terus menjerumus
sampai ke dasar hati nan tandus.

Farhana Sukre
Lembah Pantai, Kuala Lumpur
Tunas Cipta, Julai 2012


Pasca sajak:

Penyair tulus
bukan ahli silap mata;
mudahnya menyulap pembaca
dengan magis kata-kata.

Khamis, 20 September 2012

Tinta Merah

O kawan
Kauhadiahkan aku sebatang pena
yang kini mengalir sejuta aksara

Entah mengapa
kautuntut penamu kembali
tetapi malang, sayang
pena berianmu itu sudah kehabisan tinta.

O kawan
andai kau benar-benar mahu
sanggupkah kau terima semula?
sebatang pena bertinta
yang akan kuisi dengan darah kecewa.












Ahad, 9 September 2012

Mimpi siang (tentang filem/drama sejarah)


Mimpi?(Mimpi saja yang termampu)

1. Dulu filem kita banyak diadaptasi daripada Sejarah Melayu. Pernah tengok Filem Hang Tuah/Jebat, Singapura dilanggar Todak, PGL?

2. Sekarang juga ada. Tetapi lebih kepada sejarah versi buku teks sejarah sekolah menengah - Leftenan Adnan, Embun(?), Hati Malaya dan terbaru Tanda Putera. Namun filem drama sekarang macam lebih banyak mengadaptasi novel sejarah cinta alaf 21.  Jadi tumpuan dan berlambak di setiap rangkaian.

3. Lihat negara Korea Selatan. Muzium dan istana lama diguna sebaik-baiknya. Trend pembikinan drama/filem bercorak sejarah rancak. Boleh dilihat bagaimana sejarah Korea yang beku itu dicairkan hanya dalam drama dan filem mereka. Tidak kisah isu tokok tambah, tapi bukankah itu boleh menjentik pemikiran penonton membanding beza sejarah lama yang tersurat dengan yang dibuat?

4. Korea Selatan mungkin beruntung kerana punya fasiliti tradisional yang menarik. Oleh sebab filem/drama berunsur tradisi/sejarah, set pengambaran menjadi tarikan pelancongan.

5. Mari kita ambil pengajaran daripada kata-kata pengarah drama 'Jewel in the Palace', "Terlalu banyak kebudayaan asing yang mempengaruhi masyarakat. Aku memiliki kecemasan yang sama itu terjadi di Korea, dan itulah mengapa aku membuat Jewel in the Palace."

Politik dapur

6. Ambil sahaja contoh negara terdekat, Thailand. Pernah lihat filem The Queen of Langkasuka ataupun King Naresuan? Alangkah kerdil aku melihatnya. Lihat dalam filem The Queen of Langkasuka, wataknya ada darah orang Melayu, bertengkolok, memakai baju zirah (baju besi) dan berpencak silat hebat tetapi bertutur dalam bahasa Thailand.

6. Lebih terkesan, filem The Queen of Langkasuka memaparkan keagungan empayar Melayu Patani melebihi barat. Alat peperangan tidak hanya tombak, keris, pedang dan panah tetapi adanya meriam, istinggar, lela rentaka, pemuras, terakol, sepunggar. Alat-alat yang canggih inilah yang kulihat kaku terpamer di muzium negeri Kedah. Adakah golongan muda kita tahu kita dahulu punya sebuah empayar yang digeruni.

Putera Pahang dan Puteri Ungu. Dua watak yang wujud dalam Hikayat Patani.
Apa mungkin Pahang punya hubungan dengan Melaka?
 Putera Pahang pun pakai terakol(pistol), empayar Melaka yang hebat pakai apa? 

7. Kemudian lihat Filem King Naresuan, paparan kisah raja yang agung. Filem ini ditaja oleh dana raja-raja mereka atas alasan mendokumentasikan kehebatan salasilah mereka.

8. Kita? Aku cuma bermimpi suatu hari nanti bila aku buka tv3(enggan sebut rangkaian lain), ada drama yang menunjukkan sejarah tradisi. Paling tidak filem itu nanti boleh menyaingi filem klasik dulu-dulu. Aku lihat, suatu masa nanti orang ramai, orang luar berkunjung ke muzium-muzium lama (set pengambaran), menyebut-nyebut ini sejarah negara kita!

9. Filem kita wajah kita. Bukan setakat wajah kehebatan zaman sekarang juga zaman depan, tetapi yang lebih besar, wajah keagungan zaman lampau. Siapa yang mahu mencairkan keagungan kita yang hanya beku di dalam lembar sejarah?

10. Bermimpi mudah. Merealitikannya itu yang payah.


Dalam sejarahnya,
Melayu itu pengembara lautan,
Melorongkan jalur sejarah zaman,
Begitu luas daerah sempadan,
Sayangnya kini segala kehilangan. -SN  Usman Awang

History is the word of powerful. History is not written by loser. The winner write it and the winner will record the history very well - Time Slip Dr. Jin

Selasa, 4 September 2012

Bila dan Jangan

Untuk orang-orang yang kita sayang, sedikit nukilan pesanan...


Bila mahu berjaya
Harus tekun bekerja

Jangan bekerja sambil lewa
semua perkara jadi sia-sia

Bila kerja mahu disuap
Orang tak ikhlas berkat tak hinggap

Jangan jadi si bodoh sombong
Hidup penuh cerita bohong

Bila ditegur usahlah marah
jangan menyanggah jangan gundah

Jangan diikut nafsu hati
Nanti hidup akan rugi

Bila diikut nafsu rasa
kelak hidup akan binasa

Ingat, sebelum lemas tenggelam
Selamatkan diri daripada karam!


Lembah Pantai, 
ketika hujan renyai.



p.s ni entri elak blog bersawang.

Jumaat, 27 Julai 2012

Sebelas Patriot - Andrea Hirata


"Jika ada hal lain yang sangat menakjubkan di dunia ini selain cinta, bola sepak." - Andrea Hirata



Akhirnya aku membeli novel ini setelah lama aku menantikan terjemahannya dalam bahasa Melayu. Bukunya nipis, 71 muka surat sahaja (versi terjemahan) dan kulit depannya tidaklah semenarik kulit depan asalnya, tetapi cukup untuk aku menghilangkan rindu pada penulisan Andrea yang inspiratif. 

Sebelas Patriot masih mengekalkan watak Ikal sewaktu kecil dan Ikal dewasa yang mengembara jauh ke Perancis, bagi yang ingat kalau membaca Edensor. Ceritanya mudah, kisah antara cinta dan bola sepak. Cinta Ikal yang bercambah setelah menemui gambar ayahnya yang memegang piala dan pakaian bola sepak. Tetapi itu gambar silam, kejayaan ayahnya yang menggelapkan. Semangat ayahnya menjulang nama Indonesia melawan penjajah membuatkan ayahnya dipecahkan tempurung lututnya. 

Kisah lama itu membuatkan Ikal cinta sampai gila terhadap bola sepak. Kegilaannya memuncak untuk menyertai PSSI junior namun gagal. Kegilaannya dibawa sampai ke Perancis, berjalan beribu-ribu batu untuk membelikan jersi beserta tandatangan Luis Figo untuk dihadiahkan kepada ayahnya - sebagai kejutan dan tanda kasih kepada seorang ayah, salah seorang patriot Pasukan Nasional Indonesia.

Walaupun merasakan novel kali ini seperti kurang 'umph' berbanding novel-novelnya yang terdahulu, aku rasa, Andrea cukup bersifat patriotik menjulang nama negaranya.  

Sabtu, 23 Jun 2012

Catatan Hati Nik Nur Madihah - kisah mengharukan


"Yang pertama, jangan bercita-cita nak jadi doktor, peguam, jurutera dan sebagainya. Itu adalah cita-cita nak makan gaji. Tapi, tanamlah azam untuk jadi orang cerdik. Kalau kita cerdik, InsyaAllah kerja akan datang sendiri kepada kita." - Ayah Nik Nur Madihah.


Selesai membaca buku ini dua hari lepas. Buku ini penuh dengan catatan kisah suka dan duka seorang pelajar, anak dan hamba Allah. Seperti kita tahu, Nik Nur Madihah merupakan pelajar SPM terbaik seluruh Malaysia tahun 2008 yang mana telah meraih 20 A (19 A1 1 A2). 

Di dalamnya terdapat catatan hati seorang anak nelayan yang terpaksa bertarung dengan kesempitan hidup.  Tidaklah  dia menjadikan kesusahan itu sebagai halangan untuk menempuh kejayaan. Kemiskinan dijadikannya sebagai asas motivasi untuk berjaya dan mengubah kehidupan keluarganya. 

Sesuatu yang menarik dan boleh dijadikan ikutan, Nik Nur Madihah sentiasa melakukan tahajud, solat sunat dhuha dan berpuasa sunat pada tiap Isnin dan Khamis. Selain itu, dia suka kepada buku bergenre penyiasatan dan sejarah islam kerana buku-buku sebegini boleh mencucuh pemikirannya. 

Buku ini selain juga penuh dengan tips-tips belajar, boleh juga menjadi tulisan motivasi atau tulisan untuk kita mensyukuri, betapa kekayaan bukanlah penentu kepada sesuatu kejayaan. Sungguh, buku ini sangat mengharukan bagi yang tahu atau pernah mengharung erti kesusahan!


Ahad, 3 Jun 2012

Kehilangan Nama

i
Kerana kau seorang yang tak bernama
Kau akan ditangkap
Jika politikmu lain dari yang ditentu.
Kerana kau seorang yang tak bernama
Pondokmu akan dirobohkan
Jika kau tidak mengisi borang permintaan.
Kerana kau seorang yang tak bernama
Tanah yang baru diteroka akan diambil
Jika kau tak punya surat T.O.L.
Kerana kau seorang yang tak bernama
Bahasamu harus dikorbankan
Jika tidak kau dituduh perkauman.

ii
Siapa sahaja selain daripada nama tak bernama
Boleh berontak boleh berteriak selantang suara
Dia akan dipujuk diusapi hati marahnya.
Jika ia ada di sebuah pulau
Pulau itu akan dianugerahkan kepadanya;
Jika ia ada di dalam negeri 
Marilah tinggal di residency;
Jika ia ada di wilayah timur
Para pemimpin akan mengunjunginya
Membujuk dan menjanjikan tiap permintaan.

iii
Apabila kau seorang tak bernama
Jangan kautanya ladang-ladang itu siapa punya
Jangan kautanya kemerdekaan dan pangkalan tentera
Jangan kautanya lombong-lombong itu milik siapa
Jangan kaugusar pada bangunan yang besar
Jangan kausebutkan nama-nama sekolah yang makmur
Dan bertanyakan apa bahasa pengantar;
Dengan pertanyaan itu kau akan dimurkai
Seorang perkauman yang dibenci
Oleh juara bangsamu sendiri.

iv
Seorang yang namanya tak bernama
Tinggallah di pondok buruk itu
Jika pondok itu pusaka halal bagi moyangmu;
Tanamlah padi di sawah kecil terpencil
Jika sawah itu warisan sah dari ayahmu;
Berdirilah di tangga bangunan dengan songkok dan samping
Jika kau beroleh jawatan budak suruhan;
Menorehlah di ladang-ladang besar
Bekerjalah di lombong-lombong saudagar
Jika kau mendapat kartu seorang buruh;
Hantarlah anak-anakmu di sekolah berdekatan
Yang kita megahkan dengan nama 'kebangsaan'.

Demikianlah kau telah kehilangan nama
Yang telah dikebumikan dalam seribu ucapan.

Usman Awang, 1967


Buku ini tertemu dalam perpustakaan, dan sengaja kulekatkan puisi UA di dalam blog ini seraya memikirkan sudah lama NAMA bangsaku  ditelanhilangkan oleh JUARA bangsanya sendiri. 



Selasa, 22 Mei 2012

Ahad, 20 Mei 2012

Ahad, 6 Mei 2012

Kedai Buku sekitar KL


Kedai-kedai buku di bawah mungkin akan dirindui sekiranya aku tidak dihantar posting di Kota Lumpur tahun depan (memang tak minta posting di KL di atas banyak sebab). 


1. Pekan Buku, UM


Pekan Buku UM dekat dengan maktab, boleh jalan kaki, pusing tasik UM yang berair hijau, masuk Perdana Siswa dan jumpa. Selalunya masuk sebab nak beli majalah DBP yang tak ada di kedai biasa. 

2. Book Excess, Amcorp Mall

Sesiapa yang suka baca buku BI, ini port yang boleh memberi senyum. Bukunya berpatutan. Kenapa? Kena beli bukunya dan ramahkan mulut bersembang dengan stafnya. Di sini aku mula kumpul buku Haruki Murakami. 

3. MPH, Mid Valley

Dulu kedainya luas, sekarang berpindah dan agak sendat. Dekat MPH aku nampak budaya ibu bapa membawa anak membaca. Satu cara yang bagus untuk pupuk minat. Yang tak bagusnya, ada anak-anak yang merengek untuk menipiskan dompet ayahnya dan juga ada permainan polis sentri! 

4. Pustaka Mukmin, Jalan TAR

Ada dua Pustaka Mukmin, satu dekat dengan SOGO dan satu lagi berhadapan dengan Restoran Insaf yang menginsafkan. 

5. Pustaka Minerva, Jalan TAR

Saingan Pustaka Mukmin. Sekali lagi aku cakap, pustaka ini bersebelahan dengan Restoran Insaf yang menginsafan sesiapa untuk makan buat kali kedua.


6. Borders, BTS dan Kinokuniya, KLCC


Tak selalu. Jarang-jarang. Baru perasan, dalam Kinokuniya dekat bahagian bahasa Melayu ada tersusun buku-buku Pramoedya Ananta Toer yang dicetak semula. Tapi, telan air liur sahaja. 

7. PWTC


Selain perhimpunan agung ameno, PWTC adalah tempat untuk meraikan penulis dan menghabiskan duit setiap tahun.



Sebenarnya, dekat mana-mana pun ada kedai buku, tapi tidaklah semeriah di Kuala Lumpur. Kalau nak kata orang kita tak banyak baca buku, rasa macam tak rasional juga. Kedai buku penuh tiap kali hujung minggu dari pandangan mata aku.


Salah satu faktor aku tak pilih KL selain kesesakan ialah aku tak suka bangunan vertikal (pinjam ayat Ridhwan Saidi) kerana aku tak suka lif! 

Selasa, 17 April 2012

Hammerika

Ramlee Awang MURSHID
Malaysia (KL) - Amerika urban
Bobrok sosial
Isu bejat;
Kerajaan - Demo keras i
Tol, bangunan vertikal
Bandar pentadbiran yang gagal
Rusuhan - gas dan garam ajaib

Genius
Berahi
Songsang
Aku-saya-aku

Sup Brokoli
Air Soya
Lipas
Strawberi

Ridhwan Saidi,
Penulisannya misteri
Berani mati.



















Sukar untuk kuulas dengan kata-kata yang berjela. Ah, sangat sukar!

Ahad, 11 Mac 2012

Badut Tivi

Timbul rasa malu setelah kulihat badut-badut di tivi itu
terkinja-kinja, merayu-rayu
merendahkan maruah diri
diperlekeh, diketawa
kemudian ditayang 1Malaysia.

Aku tidak ketawa!
Selain malu yang menebal
ada secebis marah kesal
akan penerbit tivi kapitalis berjiwa bebal
asal untung, maruah badut-badut itu boleh dijual!

Jumaat, 2 Mac 2012

Erti S.A.H.A.B.A.T

Sahabat itu seperti tali,
Diikat kuat tersimpul mati.

Sahabat itu mengikat janji,
Kata terpateri janji ditepati.

Sahabat itu seperti akar,
Kukuh berpaut tidak tersasar.

Sahabat itu sehati sejiwa,
Suka atau duka tetap setia.

Sahabat itu seperti isi dan kuku,
Dia sekutu suka membantu.

Sahabat itu sikapnya sabar,
Membawa kita ke jalan benar.

Sahabat itu seperti udara,
Setiap nafas begitu berharga.

Sahabat itu kalamnya nasihat,
Pesannya ilmu bukan muslihat.

Sahabat itu seperti matahari,
Panah sinarnya membawa erti.

Sahabat itu jujur berkata,
Cakapnya berisi tiada dusta.

Sahabat itu seperti ubat,
Penawar mujarab jadi penguat.

Sahabat itu teguh bergandingan,
Dalam hubungan tiada kepentingan.

Gurindam Erti Sahabat
Farhana Sukre,
Tunas Cipta, Februari 2012

Pengikut

Penyumbang