Halaman

Ahad, 11 Mac 2012

Badut Tivi

Timbul rasa malu setelah kulihat badut-badut di tivi itu
terkinja-kinja, merayu-rayu
merendahkan maruah diri
diperlekeh, diketawa
kemudian ditayang 1Malaysia.

Aku tidak ketawa!
Selain malu yang menebal
ada secebis marah kesal
akan penerbit tivi kapitalis berjiwa bebal
asal untung, maruah badut-badut itu boleh dijual!

Jumaat, 2 Mac 2012

Erti S.A.H.A.B.A.T

Sahabat itu seperti tali,
Diikat kuat tersimpul mati.

Sahabat itu mengikat janji,
Kata terpateri janji ditepati.

Sahabat itu seperti akar,
Kukuh berpaut tidak tersasar.

Sahabat itu sehati sejiwa,
Suka atau duka tetap setia.

Sahabat itu seperti isi dan kuku,
Dia sekutu suka membantu.

Sahabat itu sikapnya sabar,
Membawa kita ke jalan benar.

Sahabat itu seperti udara,
Setiap nafas begitu berharga.

Sahabat itu kalamnya nasihat,
Pesannya ilmu bukan muslihat.

Sahabat itu seperti matahari,
Panah sinarnya membawa erti.

Sahabat itu jujur berkata,
Cakapnya berisi tiada dusta.

Sahabat itu seperti ubat,
Penawar mujarab jadi penguat.

Sahabat itu teguh bergandingan,
Dalam hubungan tiada kepentingan.

Gurindam Erti Sahabat
Farhana Sukre,
Tunas Cipta, Februari 2012

Pengikut

Penyumbang