Halaman

Rabu, 22 Disember 2010

Muzium Negeri Kedah yang sepi


Assalamualaikum

Dah dekat nak habis cuti baru aku berkesempatan mengunjungi Muzium Negeri Kedah. Tujuannya hanya satu untuk projek mega 2011 yang dah tak berapa hari saja lagi. 

Rasanya ini masuk kali ketiga aku masuk Muzium Kedah. Kali pertama ikut rombongan sekolah rendah, kali kedua semasa sekolah menengah agama. Ya, kenangan nostalgik dengan pakaian batik sekolah, tudung labuh kemudiannya berjalan kaki dari SMK Agama Kedah ke Shahab Perdana dan  naik bas AOB dengan tambang 50 sen turun depan bangunan muzium. 

Itu pun kerana ada pameran hantu. Boleh bayangkan pameran pelbagai jenis hantu pelik lagi jelik berjaya menarik ribuan pengunjung yang mahu melihat replika hantu secara langsung. 

Itu dulu, berbeza dengan semalam. Bangunan ilmu antropologi itu lengang. Sunyi sepi. Ada dua tiga kerat manusia yang membawa anak-anak dan dua orang mat salleh.

Aku yang membawa dua orang adik pun sibuk nak balik. Katanya takut. Ya, keadaan bangunan yang tiada siapa ditambah lagi penuh dengan artifak lama memang bisa menegakkan bulu roma! Apa pun, misi mencari maklumat untuk projek mega 2011 aku rela. Dua orang adik aku tu aku tak layan. 

Ternyata bertandang ke muzium negeri ini memang tidak rugi. Dalam banyak-banyak galeri tak sangka pula terjumpa nama Yang Dipertua PIBG SMK Agama Kedah yang sekarang menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan  Negeri Kedah. 

Bagi murid tingkatan satu yang rasanya kurang meminati sejarah, bolehlah berkunjung ke Muzium ini kerana anda boleh faham satu bab dalam buku teks sejarah secara terperinci. 

Bagi aku ini satu pengalaman menarik dan misi 2011 bakal bermula. Harap tidak hanya menjadi angan-angan Mat Jenin atau hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam. 

Sekian.


Rabu, 8 Disember 2010

Drama Medik

Assalamualaikum.

Aku jenis yang akan tolak tepi cerita thriller sebab aku ngeri dengan babak pisau atau senjata tajam seumpamanya itu berlaga dengan kulit sampai terkobak kulit dan belulang. Tapi, boleh pulak aku tengok cerita tentang dunia perubatan. Dunia mengenai kehidupan doktor yang tak dapat lari daripada pesakit dan penyakit.

Ada empat drama medik yang menarik.
1. The Legendary of Doctor Hur Jun (Korea)
2. Jewel in the palace (Korea)
3. Iryu Team Medical Dragon (Jepun)
4. Grey's Anatomy (Amerika) 

Rangking 1 dan 2 adalah berlatarbelakangkan zaman Korea tradisional dan rangking 3 dan 4 adalah zaman masa kini yang sudah maju dengan kelengkapan perubatan yang serba canggih apalagi melibatkan negara Jepun dan Amerika.

Nombor 1 dan 2 ada banyak persamaan iaitu adaptasi daripada sejarah dan doktor kerajaan yang mahu berkidmat di hospital rakyat. Bezanya adalah nombor 2 merupakan penonjolan watak perempuan pertama yang menjadi doktor yang berasal daripada tukang masak istana.




Dari segi perubatan tradisional, pastinya Dr Hur Jun lebih dominan. Pelmacam penyakit dapat dikenali dengan kaedah perubatan akupuntur dan herba-herba. Kedua-dua plot dalam drama tradisi ini hampir sama yakni berkisarkan korupsi dan penindasan secara kejam golongan aristokrat terhadap rakyat biasa. Mungkin sebab itu timbul perwatakan watak utama yang memainkan peranan mahu membantu nasib mereka yang miskin dan melarat.

Satu babak yang menarik bilakala Dr. Hur Jun sanggup menyedut nanah daripada bisul pesakit dengan mulutnya sendiri. Selepas itu, Dr ini pun terfikir mahu menggunakan lintah sebagai medium penyelesaian. Dr Hur Jun ini sangat bertuah kerana dalam cerita ini dia satu-satunya individu yang serba tahu tentang organ dalaman tubuh. Semuanya itu bermula melalui wasiat gurunya yang sanggup menyerahkan mayat dirinya untuk diautopsi.

Nombor 3 mengenai satu kumpulan doktor yang pelbagai kepakaran menangani pembedahan jantung. Pakar jantung Dr Asada Ryutaro yang mempunyai sikap aneh serta mempunyai tangan 'tuhan'. Pelbagai jenis penyakit jantung boleh dipelajari dan teknik pembedahan gila yang sukar diterima akal oleh presiden hospital yang jahat(korup jugak). Kumpulan Perubatan Naga ini terdiri daripada pakar bedah, pakar bius, juruteknik, dan jururawat yang semuanya serba serbi pakar dalam bidang masing-masing. Tak dapat disangkal lagi, pastinya kumpulan ini hebat!.


Lagi satu, sengaja aku letak drama Amerika ni pada rangking nombor 4. Serius, dah banyak musim tertinggal. Dulu aku tengok Dr. Grey ni baru berjinak dalam dunia doktor pelatih yang dipikat Dr Sheperd. Kebetulan, cutinya aku terbuka tv7 dan tertengok. Rupanya dah musim kelima. Dr Grey pun dah berkahwin dengan Dr. Sheperd yang sudah menjadi presiden hospital. Apa pun, dalam cerita ini aku sangat 'kagum' dengan para doktor yang boleh pulak terlalu cool bersembang tentang keadaan sekeliling. Macam keadaan genting semasa pembedahan satu proses yang biasa yang tidak mengujakan.

Rasanya banyak lagi drama-drama medik dalam dunia ni. Malaysia juga tak terkecuali. Cumanya versi Malaysia itu lebih banyak cinta daripada mediknya sendiri, iaitu tak pernah langsung nampak babak pembedahan yang real. Ternyata negara timur sekarang pun sudah banyak drama medik. Sekurang-kurangnya, kalau tengok siri ni tahu jugak serba sedikit tentang dunia perubatan walaupun kita tak terlibat secara langsung.

Sebenarnya banyak lagi nak dihuraikan tapi biarlah aku tutup dengan kesimpulan bahawa dalam drama medik ni aku dapat tahu pelbagai sikap yang ada pada seorang doktor. Dapat beza dengan jelas doktor yang baik mahupun sebaliknya. Tak lupa lagi satu, jagalah kesihatan sebaiknya.

Nak tahu betapa menariknya, cubalah tengok. Dalam dunia di hujung jari ini 'macam-macam' boleh ditemui.

p/s: Sekarang tengah layan drama obstetsrics and gynaecology.

Isnin, 22 November 2010

3 idiots yang pandai


Assalamualaikum.

Bertemu kembali. Aku dah dapat kesan waktu yang sesuai untuk mengaktifkan narrowband aku. Ternyata, hanya waktu tengah hari saja yang pantas. Nampaknya lepas ni, mak aku akan mula jeling-jeling berserta pakej angkat kening dekat aku. Nampak gayanya juga, orang-orang rumah aku ni bakal makan tengah hari agak lewat daripada kebiasaannya. Apa boleh buat, tukang masak sibuk berblog depan komputer. 

3 idiots
Pernah tengok 3 idiots? Kalau yang dah tengok apa pendapat anda tentang filem ini? Pada pendapat aku, bagi yang belum tengok, bolehlah cari filem bolliwood ini di pasaran sekarang. Rasanya tak rugi menonton filem ni. Sebenarnya ni dah kali ketiga aku tengok cerita tentang tiga orang jejaka yang dimomokkan 'bodoh' padahal cerdik ditambah dengan tahap kenakalan yang tinggi. 


Serius. Kali pertama aku tengok filem ni aku menangis. Pelik kan aku ni. Cerita lawak pun boleh tersentuh. Mungkin tunjang yang mahu ditonjolkan dalam filem ni membuatkan aku terus menontonnya sampai tiga kali. Penonjolan satu ikatan persahabatan yang erat. Cara aku hayati filem ni terlalu mendalam. Alangkah sangat bertuah andai dapat tiga sahabat yang sebegini terutamanya watak 'rancho' lakonan Aamir Khan. Istilah kawan yang berkorban apa saja. Dalam 'kebodohan' yang ditonjolkan sebenarnya ada kepandaian yang merubah kehidupan yang terlalu bergantung kepada pertarungan dengan masa, mesin, kehebatan dan kedangkalan pemikiran manusia yang terlalu mengagungkan pencapaian yang maha hebat.

Watak Rancho buat aku sedar. Kehebatan manusia bukan setakat menghafal rumus-rumus dan mengkhatam buku teks mahupun meletakkan satu sasaran untuk dicapai. Tidak, itu hanya satu permainan kehidupan untuk mencapai utopia sedangkan kebahagiaan yang dicari itu sebenarnya telah mendatangkan penderitaan perasaan. Bahagiakah kalau hidup kita semuanya serba lengkap dengan harta benda sedangkan hati kita sentiasa tidak bahagia dan sentiasa membenci akan kelebihan orang lain.



Jadi, dalam cerita ini telah mengajar aku, hargailah dengan apa yang ada di sekeliling kita. Tanya kemahuan hati kita, apa sebenarnya yang kita mahu. Dabiklah nubari kita, apa benar ini kehidupan yang kita inginkan. Bagi aku, cukuplah kita berpuas hati dengan keupayaan kita. Boleh beridola dengan seseorang yang kita kagumi dan menggunakan otak yang dihadiahkan oleh Ilahi ini dengan sebaiknya. 

Nampaknya aku sudah membebel panjang. Betul lah seperti yang aku tulis di atas, aku melihat filem ini dengan terlalu mendalam. Apa yang dapat aku rumuskan filem ini bukan sekadar hiburan, tapi lebih daripada itu. Terpulang lah kepada setiap individu mentafsirkannya. 

Sekian. Ketemu lagi bilakala kesempatan dan kelajuan 'jalur lebar' menjelma.


Nota hati: terbaca di Utusan, filem 2 alam dikatakan filem putar alam. Tak pa, asalkan untung berpuluh-puluh juta. Agak-agak berapa juta dibolot? 

Pengikut

Penyumbang