Halaman

Jumaat, 18 Ogos 2017

Jumaat, 6 Mac 2015

Dinding


di sini kelasku ceria berabad dua puluh satu, di sana kelas mereka 'papa' tak berdinding batu!

--Kulaijaya

Sabtu, 19 April 2014

Kucing dan kaki

Makanan tengahari Salim biasa-biasa saja. Tidak banyak mata. Ikan kembong rebus, gulai ikan kembong, dan sayur kangkung yang dipetik isterinya di belakang rumah.

Itu rezeki mereka sekeluarga hari ini. Mereka patut bersyukur.
Sedang enak menggaul nasi, Jingga nama kucing tumpangan yang datangnya dari mana menggesel-gesel bulu lebatnya pada kaki Salim. Tidak lupa mengiau simpati. Dulu, Salim cukup pantang jika ada kucing menganggunya makan. Sepak dan pukullah hukumannya. Salim puas dalam hati tanpa belas.
Kini tidak. Kucing itu menarik-narik simpatinya. lebih-lebih lagi, Jingga itu kesayangan anak-anaknya.
Salim hela nafas. Seekor ikan kembong rebus di dalam pinggannya dipatah dua kemudian separuh darinya digaul bersama nasi diberi kepada Jingga. Jingga mengiau lagi seakan mengucap terima kasih.
Tak lama kemudian, Putih pula menerpa, menumpang sekaki makanan Jingga. Jingga menderam, memberi amaran, ’ini makanan aku’. Putih berhenti. Duduk memerhati Jingga nan lahap dengan harap akan ada sisa-sisa tinggalan untuknya. Tetapi yang tinggal hanya sisa kecewa. Isi pinggan kosong. Jingga kenyang berlalu pergi. Tinggal Putih pula menyambung simpati.
Geselan Putih pada kaki Salim buat Salim berhenti makan. Akhirnya, semua makanan dalam pinggannya diberi kepada Putih. Dia senyum sedang isterinya memandangnya sayu.

"Sat lagi jangan lupa cucuk insulin."

Salim pandang isterinya tanpa perasaan. Bosan dengan ingatan itu saban hari.
"Macam mana malam nanti?" tanya isterinya tak semena.
"Macam mana apa?" tanya Salim kepada isterinya pula.
"Beras dah habis."
Salim diam. Dia lihat mata isterinya dalam. Dia teringat anak-anaknya di sekolah belum makan. Dia lihat putih gelojoh. Dan dia lihat Jingga menjilat-jilat bulunya di tepi kerusi rodanya.
Kemudian dia lihat kakinya nan satu. Balasan dosa yang dilakunya dahulu.

Ahad, 23 Mac 2014

Impian 5cm di hadapan kening




Mulanya di awal cerita kubayangkan filem ini seputar tentang persahabatan dan percintaan. Namun lebih dari itu. Yang nampak besar jiwanya ketika di pertengahan cerita sampailah ke akhirnya adalah semangat nasionalisme. Semangat patriotiknya. 

Ini sudah masuk beberapa filem Indonesia yang kutonton telah mengibar dan menjulang Sang Saka Merah Putih.

Dalam 5cm, Sang Saka Merah Putih ini dijulang di atas puncak Mahameru. Bukti cinta pada negara yang melangit dengan jati diri yang membumi. Sungguh, babak ucapan di puncak Mahameru bersama deraian semangat meluap-luap oleh 5 sahabat itu serupa kata-kata magis yang meresap.

5cm sebuah filem yang cantik. Bukan setakat cantiknya pemandangan di dalamnya, tetapi cantiknya erti sahabat yang mengejar cita-cita 5 sentimeter di hadapan kening. 

4* kerana jiwa filem ini gratis!

Sabtu, 14 Disember 2013

Muzium Kota Kuala Kedah







Muzium ini mempunyai sebuah rumah yang penuh dengan galeri bermaklumat (jujurnya: tidak menarik perhatian kanak-kanak) dan beberapa buah monumen yang sesuai dimemorikan dalam kamera. Dalam rumah putih ini ada pelbagai maklumat secara amnya, iaitu sejarah pembinaan kota, fungsi kota (pemerintahan, perdagangan dan pertahanan) dan terdapat beberapa artifak terpilih untuk ditatap peminat sejarah. 

Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Kota Kuala Kedah ini dilukis/dipetakan oleh Dato' Maharaja Kadhi yang dibina bagi menjaga (mengawal) musuh-musuh dari sebelah laut. Tukang-tukang batu dari India dikerah untuk membina kota Kuala Kedah.

"...kemudian-nya dikorek sa-buah sungai di-sabelah utara kota itu sampai tembus ka-sungai Kubang Rotan. Maka akan tanah2 itu di-timbun di-dalam kota itu. Maka dalam tahun Hijrah sa-ribu sa-ratus sembilan puloh empat (1194) kota itu pun siap-lah, chukup dengan balai istana di-dalam-nya, dan sa-telah itu di-ator segala meriam2 dan sakalian alatan peperangan di-sekeliling-nya...."
(hlm. 130) 

Di perkarangan luar bangunan ini ada monumen pintu gerbang kacapuri dan rumah api yang berpagar sepi -menyaksi bot-bot nelayan yang berjejer di muka air.

Muzium ini masuknya percuma.  Ada sesuatu yang perlu dilakukan oleh jabatan muzium untuk menarik pencinta sejarah dan pelancong. Bukan sekadar melekatkan papan bermaklumat (yang tidak menarik) yang hanya dipandang imbas oleh kanak-kanak.

Dan bukan juga hanya sekadar menjadi lokasi bergambar bagi pra-perkahwinan! 

Ahad, 29 September 2013

Apabila guru...


Apakah perasaan setelah menjadi guru dan MELIHAT orang lain menjadi guru?

Inilah dia, - perca-perca perasaan yang terhentak di ingatan.

---
Apabila guru mengajar tak tentu
Murid jadi serba tak tahu.

Apabila guru mengajar tak bertujuan
Murid belajar tanpa haluan.

Apabila guru mengajar tidak ikhlas
Ilmu dicurah tidak berbekas.

Apabila guru marah tak bertempat
Murid menikus, dahaga kasih nasihat.

Apabila guru mengajar pilih kasih
Murid tercorot rasa tersisih.

Apabila guru mengajar keluar awal
Disiplin murid dapat dikawal?

Dan --

Apabila guru sengaja masuk lewat
Gaji yang diperoleh itu berkat?


- FS
Sekolah tengah bandar membangun.

Khamis, 13 Jun 2013

Tuhan - Hasrul Rizwan

Ini 5 perkara yang aku rasa nak tulis selepas membaca novel ni.

1. Kulit buku memberi fokus kepada seorang lelaki berjambang diapit kiri dan kanan. Belakangnya juga ada lelaki-lelaki berwajah serupa. Cuma wajah mereka tidak berjambang. Kenapa? *Yang berjambang itu merupakan Johari dan yang lain-lain itu merupakan klon yang dicipta profesor Rahman. Profesor yang dianggap Tuhan.

penanda buku bunga gitu. haha

2. Kerana novel sambungan ini lebih fokus kepada Johari, makanya amatlah kurang dialog utara daripada Adam dan Akhil. Namun, humor dan stail penulisan Hasrul Rizwan tetap padu. 

3. Ada kasta warna dalam novel ini. Wajah yang sama dibezakan dengan sut berwarna untuk membezakan status sosioekonomi di dalam planet masa depan setelah bumi musnah.

4. Banyak benda canggih dalam cerita ini terutamanya termos yang bertukar menjadi motor. (ah, nama pun masa depan!)

5. Di hujung-hujung cerita, pasti pembaca akan menganggap novel Tuhan ini akan ada sambungan lagi. Adakah trilogi? Jika ada, adakah Adam dan akhil akan mati? 

Apapun, tunggu sahajalah!



p/s: siapa baca novel Murtad dan pernah anggap polis tak buat kerja, mohon baca halaman 280 dalam novel Tuhan. hehe.

Pengikut