Halaman

Isnin, 24 Disember 2012

Sutan Baginda: Politikus yang bernafsu


Sutan Baginda, seorang politikus. Beristeri dua dan punya kekasih gelap. Uji, Dahlia, dan Fidah. Tiga perempuan ini menjadi serampang tiga mata. Uji berguna untuk mengajar Sutan Baginda akan hal-hal agama, Dahlia mengajarnya membentuk peribadi intelektual - berfalsafah, berteori tentang glory dan power. Dan kekasih gelap Sutan, Fidah - penyanyi The Sacred Sucker yang digunakan Sutan untuk mewujudkan skandal dengan musuh politiknya - Nirwan, pemimpin kuku besi.

Sutan Baginda bernafsu besar. Bernafsu terhadap perempuan dan kekuasaan. Cerita ini nampak berterus terang tetapi terselit juga kiasan yang mudah difaham berkaitan bab-bab di atas ranjang. Atau lebih tepat lagi, perbincangan Sutan Baginda bersama perempuan serampang tiga mata dalam mendapatkan kekuasaan politik ketika sedang bernafsu di atas ranjang. 

Tetapi inti penceritaan jelas menunjukkan politik itu sangat kotor. Sutan Baginda itu simbol politikus munafik yang bertopengkan keagamaan. Menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis untuk menyakinkan rakyat. Menggunakan falsafah kotor, tonjolan kebijaksanaan untuk menjatuhkan pihak lawan. Perjuangan mendapatkan kuasa yang lebih menjijikkan lagi ialah mewujudkan konspirasi skandal. Nah, inilah politik kehaiwanan!

Ada beberapa ayat yang boleh difikir-direnung:

"Politik ini kotor, Fidah. Lebih kotor dari apa yang kita buat sekarang ini lagi." - m.s 45

"Tuan-tuan dan puan-puan! Kita perlu beranarkis dan bertirani dan beroligarki. Juga autokrasi militan. Juga teokrasi. Pergi jahanam saja pada marga-marga monarki ini kerana mereka hanya milik glory saja, Hebat dan nampak cantik tapi kosong dalam kekuasaan...." m.s 103

Novel ini kali pertama dicetak pada tahun 1989. Sepertinya realiti politik dulu dan kini nampak lebih kurang. Apakah  politik negara ini masih belum matang? Kata SN Shahnon Ahmad, "Politik bukan lagi amanah yang sewajibnya dijaga dan disanjung tetapi politik sudah menjadi jenis nafsu ammarah yang hanya mengejar kekuasaan untuk mengisi perut."

Atas kerana itu, tertulisnya novel yang berbisa ini.



Tiada ulasan:

Pengikut

Penyumbang