Halaman

Ahad, 4 November 2012

Catatan Penglipur Lara Sang Majistret


Geli perut ketika membaca catatan bekas majistret ini. Catatan pengalaman yang sangat lucu tetapi  terselitnya nilai dan pengajaran untuk dihayati pembaca. Tidak ketinggalan, catatan ini turut menyelitkan ilmu dalam penulisannya yang santai. 
Antara ilmu yang cukup berkesan dan sedikit 'ngeri' ialah catatan kisah di penjara Pudu. Kisahnya pada tahun 1986 ketika majistret ini ditugaskan untuk menyaksikan prosedur hukuman sebatan bagi kes rogol. Sebenarnya pesalah bagi kes rogol bukan disebat di bahagian punggung, tetapi di pinggul, yakni bahagian antara pinggang dan bahagian atas punggung! Prosedurnya bermula dengan pemeriksaan kesihatan oleh doktor yang bertauliah, dan selepas dipastikan bahawa pesalah sihat untuk menerima sebatan, barulah prosedur yang seterusnya dijalankan. 

Ngeri untuk membayangkan cebisan daging yang melayang ditibai rotan sebesar jari telunjuk. Selepas 2-3 kali sebatan, pesalah akan dibaringkan, kemudian diberi rawatan oleh doktor. Kuasa untuk memberhentikan hukuman sebatan terletak pada tangan seorang doktor sama ada memastikan 'pesakitnya' menyambung azab sebatan atau ditangguhkan pada masa lain.

Pengalaman lain yang dicatat ialah pengalaman ketika penulis menjadi majistret di negeri Kelantan. Penulis menceritakan bagaimana beliau mengalami masalah berkomunikasi dalam dialek kelantan dan pengalaman menangani kerenah individu di kandang pesalah (mahkamah).

Bekas majistret ini kini aktif menulis skrip TV. Pasti menarik andai pengalamannya itu turut dibukukan.

Khamis, 1 November 2012

Twitter


140 aksara
kicau padat bermakna
ada yang mengarut
ada yang mencarut
ada yang puitis
ada yang terguris
ada yang merapu
ada yang melulu
ada yang tersendiri
ada yang peribadi

hanya kerana 140 aksara
kicau-kicau berbunyi dalam satu-satu masa
hanya kerana 140 aksara
timbul bahasa asing mengundang loya
hanya kerana 140 aksara
maklumat lebih cepat daripada berita

dan hanya kerana 140 aksara
manusia umpama burung di udara
terbang dan berkicau bebas di awan maya.


Nota: twitter saya, @FarhanaSukre

Isnin, 29 Oktober 2012

Puisi yang Kucari

Puisi yang kucari detik ini
hanya perlu bait-bait bererti
tanpa aksara rumit payah
tanpa kata abstrak lewah
tanpa bunga bahasa dan jargon susah.

Dalam rangkap puisi itu
aksaranya meresap
katanya merentap
maknanya meruap
menggugah dalam jiwa kedap.

Aku mencari puisi magis
daripada tinta penyair tulus
puitisnya terus menjerumus
sampai ke dasar hati nan tandus.

Farhana Sukre
Lembah Pantai, Kuala Lumpur
Tunas Cipta, Julai 2012


Pasca sajak:

Penyair tulus
bukan ahli silap mata;
mudahnya menyulap pembaca
dengan magis kata-kata.

Khamis, 20 September 2012

Tinta Merah

O kawan
Kauhadiahkan aku sebatang pena
yang kini mengalir sejuta aksara

Entah mengapa
kautuntut penamu kembali
tetapi malang, sayang
pena berianmu itu sudah kehabisan tinta.

O kawan
andai kau benar-benar mahu
sanggupkah kau terima semula?
sebatang pena bertinta
yang akan kuisi dengan darah kecewa.












Ahad, 9 September 2012

Mimpi siang (tentang filem/drama sejarah)


Mimpi?(Mimpi saja yang termampu)

1. Dulu filem kita banyak diadaptasi daripada Sejarah Melayu. Pernah tengok Filem Hang Tuah/Jebat, Singapura dilanggar Todak, PGL?

2. Sekarang juga ada. Tetapi lebih kepada sejarah versi buku teks sejarah sekolah menengah - Leftenan Adnan, Embun(?), Hati Malaya dan terbaru Tanda Putera. Namun filem drama sekarang macam lebih banyak mengadaptasi novel sejarah cinta alaf 21.  Jadi tumpuan dan berlambak di setiap rangkaian.

3. Lihat negara Korea Selatan. Muzium dan istana lama diguna sebaik-baiknya. Trend pembikinan drama/filem bercorak sejarah rancak. Boleh dilihat bagaimana sejarah Korea yang beku itu dicairkan hanya dalam drama dan filem mereka. Tidak kisah isu tokok tambah, tapi bukankah itu boleh menjentik pemikiran penonton membanding beza sejarah lama yang tersurat dengan yang dibuat?

4. Korea Selatan mungkin beruntung kerana punya fasiliti tradisional yang menarik. Oleh sebab filem/drama berunsur tradisi/sejarah, set pengambaran menjadi tarikan pelancongan.

5. Mari kita ambil pengajaran daripada kata-kata pengarah drama 'Jewel in the Palace', "Terlalu banyak kebudayaan asing yang mempengaruhi masyarakat. Aku memiliki kecemasan yang sama itu terjadi di Korea, dan itulah mengapa aku membuat Jewel in the Palace."

Politik dapur

6. Ambil sahaja contoh negara terdekat, Thailand. Pernah lihat filem The Queen of Langkasuka ataupun King Naresuan? Alangkah kerdil aku melihatnya. Lihat dalam filem The Queen of Langkasuka, wataknya ada darah orang Melayu, bertengkolok, memakai baju zirah (baju besi) dan berpencak silat hebat tetapi bertutur dalam bahasa Thailand.

6. Lebih terkesan, filem The Queen of Langkasuka memaparkan keagungan empayar Melayu Patani melebihi barat. Alat peperangan tidak hanya tombak, keris, pedang dan panah tetapi adanya meriam, istinggar, lela rentaka, pemuras, terakol, sepunggar. Alat-alat yang canggih inilah yang kulihat kaku terpamer di muzium negeri Kedah. Adakah golongan muda kita tahu kita dahulu punya sebuah empayar yang digeruni.

Putera Pahang dan Puteri Ungu. Dua watak yang wujud dalam Hikayat Patani.
Apa mungkin Pahang punya hubungan dengan Melaka?
 Putera Pahang pun pakai terakol(pistol), empayar Melaka yang hebat pakai apa? 

7. Kemudian lihat Filem King Naresuan, paparan kisah raja yang agung. Filem ini ditaja oleh dana raja-raja mereka atas alasan mendokumentasikan kehebatan salasilah mereka.

8. Kita? Aku cuma bermimpi suatu hari nanti bila aku buka tv3(enggan sebut rangkaian lain), ada drama yang menunjukkan sejarah tradisi. Paling tidak filem itu nanti boleh menyaingi filem klasik dulu-dulu. Aku lihat, suatu masa nanti orang ramai, orang luar berkunjung ke muzium-muzium lama (set pengambaran), menyebut-nyebut ini sejarah negara kita!

9. Filem kita wajah kita. Bukan setakat wajah kehebatan zaman sekarang juga zaman depan, tetapi yang lebih besar, wajah keagungan zaman lampau. Siapa yang mahu mencairkan keagungan kita yang hanya beku di dalam lembar sejarah?

10. Bermimpi mudah. Merealitikannya itu yang payah.


Dalam sejarahnya,
Melayu itu pengembara lautan,
Melorongkan jalur sejarah zaman,
Begitu luas daerah sempadan,
Sayangnya kini segala kehilangan. -SN  Usman Awang

History is the word of powerful. History is not written by loser. The winner write it and the winner will record the history very well - Time Slip Dr. Jin

Selasa, 4 September 2012

Bila dan Jangan

Untuk orang-orang yang kita sayang, sedikit nukilan pesanan...


Bila mahu berjaya
Harus tekun bekerja

Jangan bekerja sambil lewa
semua perkara jadi sia-sia

Bila kerja mahu disuap
Orang tak ikhlas berkat tak hinggap

Jangan jadi si bodoh sombong
Hidup penuh cerita bohong

Bila ditegur usahlah marah
jangan menyanggah jangan gundah

Jangan diikut nafsu hati
Nanti hidup akan rugi

Bila diikut nafsu rasa
kelak hidup akan binasa

Ingat, sebelum lemas tenggelam
Selamatkan diri daripada karam!


Lembah Pantai, 
ketika hujan renyai.



p.s ni entri elak blog bersawang.

Jumaat, 27 Julai 2012

Sebelas Patriot - Andrea Hirata


"Jika ada hal lain yang sangat menakjubkan di dunia ini selain cinta, bola sepak." - Andrea Hirata



Akhirnya aku membeli novel ini setelah lama aku menantikan terjemahannya dalam bahasa Melayu. Bukunya nipis, 71 muka surat sahaja (versi terjemahan) dan kulit depannya tidaklah semenarik kulit depan asalnya, tetapi cukup untuk aku menghilangkan rindu pada penulisan Andrea yang inspiratif. 

Sebelas Patriot masih mengekalkan watak Ikal sewaktu kecil dan Ikal dewasa yang mengembara jauh ke Perancis, bagi yang ingat kalau membaca Edensor. Ceritanya mudah, kisah antara cinta dan bola sepak. Cinta Ikal yang bercambah setelah menemui gambar ayahnya yang memegang piala dan pakaian bola sepak. Tetapi itu gambar silam, kejayaan ayahnya yang menggelapkan. Semangat ayahnya menjulang nama Indonesia melawan penjajah membuatkan ayahnya dipecahkan tempurung lututnya. 

Kisah lama itu membuatkan Ikal cinta sampai gila terhadap bola sepak. Kegilaannya memuncak untuk menyertai PSSI junior namun gagal. Kegilaannya dibawa sampai ke Perancis, berjalan beribu-ribu batu untuk membelikan jersi beserta tandatangan Luis Figo untuk dihadiahkan kepada ayahnya - sebagai kejutan dan tanda kasih kepada seorang ayah, salah seorang patriot Pasukan Nasional Indonesia.

Walaupun merasakan novel kali ini seperti kurang 'umph' berbanding novel-novelnya yang terdahulu, aku rasa, Andrea cukup bersifat patriotik menjulang nama negaranya.  

Pengikut

Penyumbang