Halaman

Ahad, 23 Mac 2014

Impian 5cm di hadapan kening




Mulanya di awal cerita kubayangkan filem ini seputar tentang persahabatan dan percintaan. Namun lebih dari itu. Yang nampak besar jiwanya ketika di pertengahan cerita sampailah ke akhirnya adalah semangat nasionalisme. Semangat patriotiknya. 

Ini sudah masuk beberapa filem Indonesia yang kutonton telah mengibar dan menjulang Sang Saka Merah Putih.

Dalam 5cm, Sang Saka Merah Putih ini dijulang di atas puncak Mahameru. Bukti cinta pada negara yang melangit dengan jati diri yang membumi. Sungguh, babak ucapan di puncak Mahameru bersama deraian semangat meluap-luap oleh 5 sahabat itu serupa kata-kata magis yang meresap.

5cm sebuah filem yang cantik. Bukan setakat cantiknya pemandangan di dalamnya, tetapi cantiknya erti sahabat yang mengejar cita-cita 5 sentimeter di hadapan kening. 

4* kerana jiwa filem ini gratis!

Sabtu, 14 Disember 2013

Muzium Kota Kuala Kedah







Muzium ini mempunyai sebuah rumah yang penuh dengan galeri bermaklumat (jujurnya: tidak menarik perhatian kanak-kanak) dan beberapa buah monumen yang sesuai dimemorikan dalam kamera. Dalam rumah putih ini ada pelbagai maklumat secara amnya, iaitu sejarah pembinaan kota, fungsi kota (pemerintahan, perdagangan dan pertahanan) dan terdapat beberapa artifak terpilih untuk ditatap peminat sejarah. 

Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Kota Kuala Kedah ini dilukis/dipetakan oleh Dato' Maharaja Kadhi yang dibina bagi menjaga (mengawal) musuh-musuh dari sebelah laut. Tukang-tukang batu dari India dikerah untuk membina kota Kuala Kedah.

"...kemudian-nya dikorek sa-buah sungai di-sabelah utara kota itu sampai tembus ka-sungai Kubang Rotan. Maka akan tanah2 itu di-timbun di-dalam kota itu. Maka dalam tahun Hijrah sa-ribu sa-ratus sembilan puloh empat (1194) kota itu pun siap-lah, chukup dengan balai istana di-dalam-nya, dan sa-telah itu di-ator segala meriam2 dan sakalian alatan peperangan di-sekeliling-nya...."
(hlm. 130) 

Di perkarangan luar bangunan ini ada monumen pintu gerbang kacapuri dan rumah api yang berpagar sepi -menyaksi bot-bot nelayan yang berjejer di muka air.

Muzium ini masuknya percuma.  Ada sesuatu yang perlu dilakukan oleh jabatan muzium untuk menarik pencinta sejarah dan pelancong. Bukan sekadar melekatkan papan bermaklumat (yang tidak menarik) yang hanya dipandang imbas oleh kanak-kanak.

Dan bukan juga hanya sekadar menjadi lokasi bergambar bagi pra-perkahwinan! 

Ahad, 29 September 2013

Apabila guru...


Apakah perasaan setelah menjadi guru dan MELIHAT orang lain menjadi guru?

Inilah dia, - perca-perca perasaan yang terhentak di ingatan.

---
Apabila guru mengajar tak tentu
Murid jadi serba tak tahu.

Apabila guru mengajar tak bertujuan
Murid belajar tanpa haluan.

Apabila guru mengajar tidak ikhlas
Ilmu dicurah tidak berbekas.

Apabila guru marah tak bertempat
Murid menikus, dahaga kasih nasihat.

Apabila guru mengajar pilih kasih
Murid tercorot rasa tersisih.

Apabila guru mengajar keluar awal
Disiplin murid dapat dikawal?

Dan --

Apabila guru sengaja masuk lewat
Gaji yang diperoleh itu berkat?


- FS
Sekolah tengah bandar membangun.

Khamis, 13 Jun 2013

Tuhan - Hasrul Rizwan

Ini 5 perkara yang aku rasa nak tulis selepas membaca novel ni.

1. Kulit buku memberi fokus kepada seorang lelaki berjambang diapit kiri dan kanan. Belakangnya juga ada lelaki-lelaki berwajah serupa. Cuma wajah mereka tidak berjambang. Kenapa? *Yang berjambang itu merupakan Johari dan yang lain-lain itu merupakan klon yang dicipta profesor Rahman. Profesor yang dianggap Tuhan.

penanda buku bunga gitu. haha

2. Kerana novel sambungan ini lebih fokus kepada Johari, makanya amatlah kurang dialog utara daripada Adam dan Akhil. Namun, humor dan stail penulisan Hasrul Rizwan tetap padu. 

3. Ada kasta warna dalam novel ini. Wajah yang sama dibezakan dengan sut berwarna untuk membezakan status sosioekonomi di dalam planet masa depan setelah bumi musnah.

4. Banyak benda canggih dalam cerita ini terutamanya termos yang bertukar menjadi motor. (ah, nama pun masa depan!)

5. Di hujung-hujung cerita, pasti pembaca akan menganggap novel Tuhan ini akan ada sambungan lagi. Adakah trilogi? Jika ada, adakah Adam dan akhil akan mati? 

Apapun, tunggu sahajalah!



p/s: siapa baca novel Murtad dan pernah anggap polis tak buat kerja, mohon baca halaman 280 dalam novel Tuhan. hehe.

Rabu, 24 April 2013

Nafas Baru Dr. Hur Jun


Versi tahun 1999 (64 episod)


Versi 2013 (120 episod)



Daripada penulis skrip yang sama, drama bercorak sejarah - biografi Hur Jun dilakonkan semula. Ini sesuatu yang menggamit nostalgia bagi peminat drama saeguk seperti aku. Kalau tak salah waktu aku tingkatan 4, drama ni ditayangkan di Malaysia. Lama sangat!

Kisah antara dua versi ini adalah sama, iaitu tentang perjuangan lelaki biasa menjadi seorang doktor yang berjiwa besar dalam mengubati pesakitnya. Doktor ini juga menjadi tabib diraja yang popular pada zaman Chosun dan menghasilkan buku manual perubatan yang bermanfaat dalam bidang perubatan, amnya.

Jangan sangka, drama bercorak sejarah ini tiada penontonnya. Drama versi 1999 mendapat sambutan yang hebat. Lebih hebat daripada drama Jewel in The Palace. Mungkin kerana sambutan itu, diadakan semula versi 2013. Khabarnya, Jewel in The Palace pun akan ada sekuelnya. 

Boleh tengok sini, kalau berminat: 
| Versi Lama | dan | Versi Baru |

Apabila menonton cerita bercorak sejarah, kita akan dapat meneliti budaya dan peradaban melalui cara yang paling 'murah', iaitu di depan kaca tivi. Belajar sejarah secara tidak langsung, bukan sahaja dapat mengenali keagungan sesuatu empayar bahkan boleh menghayati sisi gelap, kesengsaraan marhean hasil kekejaman sang pemerintah. 

Dan, percaya atau tidak, hampir 90 peratus drama saeguk yang aku tonton, kisahnya mesti melibatkan sistem politik yang mana mempunyai pembesar gila kuasa mengalahkan sang raja. 

Dari situ juga mungkin boleh tafsir, selain mengaut keuntungan atas siarannya, tidakkah kita berfikir bahawa pengarah dan penulis skrip ini telah menjalankan tanggungjawab memperkenalkan sejarah negaranya kepada khalayak?


"Seni untuk masyarakat" - ASAS 50


Jumaat, 5 April 2013

Sejenak di Pulau Pinang


"Aku dah serik nak pi seberang sana." ujar kawan dalam nada sesal selepas keluar dari jambatan Pulau Pinang. 

Ketika mendengar kenyataan berbaur emosi itu aku kulum senyum. Bersetuju dalam hati tanpa menghangatkan hatinya yang panas dek stres melampau semasa memandu. Sepanjang pemanduan, sikap pengguna jalan raya di sana agak ekstrim! 

Mereka seperti tidak sayang nyawa. Ada yang membawa laju tahap maksima ketika di selekoh. Ada yang mencelah tanpa isyarat seperti 'jalan ini aku punya', dan pembonceng motorsikal sengaja menari-narikan pinggangnya ketika mencelah secara tiba-tiba.

Itu semua membuatkan kami fobia. Fobia untuk memandu di jalan yang menawar carut dan dosa!








Ada beberapa perkara yang membuatkan aku berfikir panjang tentang pelaksanaan penilaian khas graduan cemerlang di Pulau Pinang. Entah. Sukar untuk kuluahkan. PERCATURAN Tuhan itu lebih baik daripada EKSPERIMEN manusia. 

Kun Fayakun. 

Apa pun, graduan cemerlang yang tergolong dalam penilaian khas perlu bersyukur kerana terus menerima surat lantikan tetap tanpa perlu berdepan sesi temu duga yang pasti lebih menyiksa jiwa. 

Jadikan 'keistimewaan' yang diberikan dengan lafaz syukur bukan dengan kata takbur. 


* Emosi celaka mematikan sahsiah mulia. 

Selasa, 12 Mac 2013

Kawan III


Kawan,
Ditakdirkan kehidupan kita tidak serupa
Kau terpilih menjarah liku besar
Dan aku, pada matamu;
Bahagia dan bersenang-lenang sahaja.

Kawan,
Saat kau mengeluh dengan situasi dunia dan manusia kejam
Selalu aku suruhmu tanam syukur
Berani menghadapi takdir tertulis
Dengan ubat-ubat motivasi
Yang sudah kusuntik
Dengan dos kata-kata peransang
Yang sudah kautelan
Dan kata-kata pegangan
Yang sudah kauhadam

Tetapi, engkau tetap begitu
Seperti pesakit yang menelan ubat, tidak juga sembuh-sembuh
Kerana sentiasa memikirkan kesusahan, tidak yakin kepada Tuhan
Dan engkau berada di dalam duniamu tanpa bergerak seincipun
Mengeluh dan mengaduh akan nasib panas tak berteduh.

Kawan,
Kini satu sahaja yang mampu kukatakan
Sesekali, harus engkau melihat ke bawah
Merenung takdir manusia yang lebih menyedihkan
Atau;
Ya, lihat sahaja diriku yang lebih terkebawah darimu

Adakah aku hidup bersenang-lenang?
Pandang dengan mata hati, kawan!




*Atau engkau patut membaca kisah-kisah motivasi yang membangunkan mimpi dan cita-cita yang bersulam air mata?

Pengikut

Penyumbang