Halaman

Selasa, 15 Februari 2011

Ishaan bukan murid biasa


"Idiot!"

"Lazy!"

"Ishaan!"

Assalamualaikum wahai pembaca sekalian, tiga nada dalam kategori herdikan, amarah dan tegasan di atas boleh ditonton dalam filem Taare Zameen Par. Filem yang mula disyorkan oleh kak Ain Solehah setelah diri ini membuat satu entri tentang 3 Idiots yang pandai. 

Sekali lagi lakonan Aamir Khan dan emosi adik Darsheel Safary menyentuh sukma. Molek benar jika filem ini dijadikan filem wajib tonton kepada guru-guru dan bakal-bakal guru kerana filem ini berkisarkan dunia kanak-kanak yang bergelar murid! 

Ini babak yang paling menyengat hati (sampai sekarang masih terasa kesannya); babak Ishaan yang melihat dunia di sekelilingnya dan melukis apa yang dilihat dengan begitu cantik sekali. Itulah bakat Ishaan yang terperam. Tidak diambil peduli orang sekeliling.


Ishaan, budak yang sering menimbulkan masalah, sama ada di sekolah atau di rumah. Ishaan punya seorang ibu yang sangat sibuk menguruskan hal rumah tangga, si ayah yang gigih mencari rezeki buat keluarga dan abang yang sibuk dalam dunianya sahaja. Lebih kasihan, Masalah pembelajaran yang dihadapi Ishaan, iaitu disleksia tidak diketahui oleh guru bahkan ibu bapanya. 

Masalah pembelajaran ini akhirnya ditemui oleh seorang guru yang peka akan masalah Ishaan. Siapa lagi guru itu kalau tak lain tak bukan pengarah dan produsernya sendiri, iaitu Aamir Khan. 



Tahukah anda apa itu disleksia?
Disleksia ini menjadi sebahagian ilmu pedagogi yang diajarkan kepada semua guru pelatih, dan pastinya menjadi topik fokus bagi guru pelatih kursus Pendidikan Khas. 

Disleksia ialah masalah membaca, iaitu kesukaran memproses perkataan atau imej yang dilihat dan menghantarnya ke otak. Namun, disleksia tidak berkaitan dengan masalah penglihatan ataupun kecerdasan murid. Mereka 'pening' membezakan perkataan atau huruf yang hampir serupa seperti 'b' dengan 'd'.

Dalam kes Ishaan, dia juga mengalami masalah diskalkulia dan disgrafia. Diskalkulia ialah kesukaran melaksanakan pengiraan Matematik manakala disgrafia pula merupakan masalah kesukaran menulis secara fizikal serta kegagalan merakam teks kepada tulisan.

Kesan filem:
Sesungguhnya, tak patut seseorang guru itu bersifat membeza-bezakan murid. Kata wanita pertama "Setiap anak permata negara" dan senada dengan filem ini, "Every Child is Special". Sangat tidak profesional langsung kalau hanya memandang pencapaian dan sangat tidak memenuhi citra keguruan kalau tiada daya memajukan pencapaian. Yang ditahu hanyala marah, jerit, herdik, benci dan bersifat memulaukan.

Lebih teruk dan kasihan, murid yang dilabel bodoh, malas dan tidak berguna itu mempunyai bakat yang tak ternilai harganya. Oh, sayang seribu kali sayang!

Gred cemerlang bukanlah penanda bahawa murid itu cemerlang. Tidak sama sekali. Apatah lagi, belajar sekadar berorientasikan peperiksaan. Cemerlangnya cuma di atas kertas.

Tugas guru bukan hanya bijak menggilap permata-permata yang bersinar, tetapi tugas guru adalah menyapu 'permata' dalam selut sampai menjadi sebutir permata yang istimewa. Tak mahu nanti, jadinya guru yang kosong, mahu mendidik murid yang kosong. Apa yang terisi? Nihil belaka!

Lagi satu, bagus juga filem yang memberi kesedaran sebegini daripada filem yang segala macam hantu mahu dipertaruhkan.

Sekian.

Nota hati: Cikgu-cikgu pemulihan atau pendidikan khas atau yang punya kepakaran dalam ilmu disleksia boleh membetulkan andai terdapat kesalahan.

1 ulasan:

Pei Pan berkata...

Si ayah bukan saja gigih mencari rezeki tetapi juga sering memberi tekanan kepada anak-anaknya. Ishaan di marahi kerana gagal dalam peperiksaan, abang Ishaan telah kalah dalam perlawanan tenis seterusnya membuatkan si ayah kecewa.

Ibu bapa juga wajib menonton cerita ini - jangan asyik mahu anak menjadi "nombor 1" dalam semua bidang walaupun bidang itu bukan kegemaran mereka.

Bila pula industri filem kita akan menghasilkan filem sebegini? Filem kita tak habis-habis dengan lawak bodoh separa masak.

Pengikut

Penyumbang