Halaman

Isnin, 19 September 2011

Negeri 5 Menara


Assalamualaikum,

Satu trend perfileman di Indonesia sekarang ialah banyak mengangkat cerita-cerita daripada novel best seller. Contohnya seperti filem Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Layskar Pelangi, Sang Pemimpi atau Perempuan Berkalung Sorban. Semuanya itu diadaptasi daripada novel yang juga laris di Malaysia. 

Satu lagi novel yang cuba diangkat dan bakal ditayangkan adalah cerita "Negeri 5 Menara" - Kisah Aliff Fikri yang berjuang di Pondok Madani. bersama teman-temannya yang digelar 'Sahibul Menara'. Novel Negeri 5 Menara pastinya lebih berpusatkan alam pondok moden berbanding dengan novel keduanya, iaitu Ranah 3 Warna. 

Sebagai pembaca yang termotivasi dengan sihir 'Man Jadda Wajada, pasti filem ini sangat dinantikan. Serba-sedikit mengenai novel ini telah ditulis pada entri lalu. Baca sini.



Farhana Sukre:
Teori aku mengenai judul novel A. Fuadi adalah pada angkanya. Negeri 5 Menara, kemudian Ranah 3 Warna dan pasti novel ketiganya nanti berangka '1'. Nantikan nanti sama ada betul atau tidak teori aku ni. Ha ha..

Selasa, 23 Ogos 2011

Untai Kata 4



Semalam kau lewat sebagai saksi yang adil
Harimu ini juga menyaksikan perbuatanmu
Jika semalam engkau berbuat buruk
Lipatkanlah kini dengan kebaikan, engkau terpuji
Jangan kautunda perbuatan baikmu sampai esok
Barangkali esok akan datang namun engkau telah tiada.

Muhammad bin Basyir

Selasa, 16 Ogos 2011

Untai kata 3

Bersabar dan ikhlaslah dalam setiap perbuatan
Teruslah berbuat baik, ketika di kampung dan di perantauan

Jauhilah perbuatan buruk dan ketahuilah pelakunya pasti dibalas
 di perut bumi dan di atas bumi

Bersabarlah menyongsong musibah yang terjadi
dalam waktu yang mengalir
Sungguh dalam sabar ada pintu kejayaan dan impian akan tercapai

Jangan cari kemuliaan di kampung kelahiranmu
Sungguh kemuliaan itu ada dalam perantauan pada usia muda

Singsingkan lengan baju dan bersungguh-sungguhlah
menggapai impian
Sebab impian tidak akan dapat diraih dengan kemalasan

Jangan bersilat kata dengan orang yang tidak
mengerti apa yang kau katakan
Sebab debat kusir adalah pangkal keburukan.

Syair Sayyid Ahmad Hasyimi


Dipetik daripada Novel "Ranah 3 Warna"

Ahad, 14 Ogos 2011

Untai Kata 2


"...Bahawa ramai orang jahat itu begitu nekad saat melakukan kejahatannya. Yang penting tekad dan berani. Jadi ini untuk sebuah kebaikan, kenapa saya mesti kalah kepada orang jahat. Saya pun terpaksa nekad. Saya nekad berdiri di sini supaya saya mendapat kebaikan. Saya nekad untuk berani berbuat baik. Menyambut Ramadhan ini saya mengajak semua jemaah untuk nekad berbuat baik. Jika ada yang merasa pernah khilaf, marilah bertekad meninggalkan keburukan itu menuju kebaikan."



Petikan daripada Novel " Dalam Mihrab Cinta" 

**Nekadlah dalam memerangi hawa nafsu.

Sabtu, 13 Ogos 2011

Untai Kata 1

Orang berilmu dan beradab  tidak akan diam di kampung halaman
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang.

Aku melihat air menjadi rosak kerana diam tertahan
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak, akan keruh menggenang

Singa jika tidak tinggalkan sarang tidak akan dapat mangsa
Anak panah jika tidak tinggalkan busur tidak akan kena sasaran

Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan terus diam
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang

Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang
Kayu gaharu tidak ubahnya seperti kayu biasa
Jika di dalam hutan.

Imam Syafie

Dipetik daripada  novel Negeri 5 Menara.

Khamis, 23 Jun 2011

Patriarch - SN Shanon Ahmad


Assalamualaikum,


Lama untuk memahami makna kedua novel ini. Novel ini patut dibaca oleh pemimpin, bakal pemimpin dan rakyat yang bernaung di bawah pemimpin. SN Shahnon telah menggarap dengan penuh jelas akan kebusukan sikap pemimpin yang rakus dan kebencian yang maha hebat rakyat yang ditindas terhadap pemerintah agung mereka. 

Sesekali teknik imbas kembali dan sorotan mimpi-mimpi ngeri sukar ditelan. Semampunya perlu dihubungkaitkan melalui watak demi watak yang diperkenalkan seperti Pak Hamad dan Mak Lebar di Chuping, Mek Besah di Kedai Lalat, Kota Bharu, Watak Budin dan gengnya - Heavy Metal The Bloody Hell Group di Kota Darulaman, watak Wak Da, Romlah dan pekerja kelapa sawit di Kulai Johor serta peranan Adi Tumpang dan Jusuh Hitam.

Watak-watak ini yang menjadi golongan bawahan yang amat membenci Patriach. Salah satunya adalah melalui watak Adi Tumpang dan Jusuh Hitam - penulis skrip dan pengarah drama yang mahu mengajak dan menyedarkan penonton dan rakyat melalui perjuangan menentang sistem pemerintahan pincang dalam drama 'Patriarch'.

Membaca novel ini seperti tidak boleh lari akan 'tabiat' suami isteri antara Patriarch dan Hamidah. Penulisan yang berulang-ulang. Begitu juga dengan tabiat meludah yang digambarkan dengan penuh teliti.(paling terkesan). Walaubagaimanapun, sekotor-kotornya ludahan itu boleh lagi mengawal rasa loya berbanding SHIT yang boleh memuntahkan segala isi perut.

Cerita ini mesejnya mengenai pemimpin dan rakyat. Jelas sekali dalam perenggan akhir novel yang cukup ironis;

"Dan seperti yang biasa berlaku di mana-mana bumi sekalipun, pemimpin baru akan muncul. Dan pemimpin-pemimpin itu akan dibunuh oleh rakyat juga kecuali yang benar-benar bertanggungjawab, beramanah, yang sanggup menunaikan janji dan yang sedia berkorban untuk hidup dan untuk mati bersama rakyat."


Selesai membaca novel ini, dapat kukatakan bahawa hati rakyat bukan tanah untuk diladangi oleh pemimpin yang penuh dengan janji yang manis menggula. Hati rakyat juga bukanlah sekeping kertas kosong untuk pemimpin mencoretkan topeng kemanusian. SN Shahnon Ahmad adalah pejuang yang membawa kesedaran, mengajak pembacanya menjadi soldadu pembebasan pemikiran.

Rabu, 8 Jun 2011

Sang Pemimpi


Assalamualaikum,



Selepas membaca novelnya, baru kutonton filem ini. Watak Arai remaja menjadi sang pemimpi yang memberi inspirasi.

Kata Arai, "Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati...."

Ya, kita boleh bermimpi kerana mimpi itu percuma, tetapi harganya mahal untuk dilaksana. Filem ini bagus untuk ditonton kepada sesiapa yang punya mimpi. Kepada setiap orang yang punya impian dan harapan yang seiring dengan daya dan usaha.

Dalam novel Sang Pemimpi, Andrea Hirata telah mengkritik produser filem dengan mengatakan:

...Para produser filem tidak tertarik untuk memproduksi filem berat yang misalnya membina semula sejarah. Ini kerana ia hanya akan mengurangkan jumlah penonton dalam filem yang kami tonton ini jelas tidak mampu mengarahkan setiap pelakon agar tidak membawakan dialog seperti mendeklamasi. Namun tidak mengapa, penonton tetap berduyun-duyun. Malah produser dan pengarah telah berkonspirasi mengumpulkan rupiah demi rupiah daripada penonton yang bodoh atau yang mereka bodohi.

dan jika anda seorang produser filem dan ingin untung besar, maka pakailah pengarah yang otaknya bebal..."


FS: kalau rindu kepada watak-watak sebelas anggota Lasykar Pelangi, boleh baca Maryamah Karpov.

Pengikut

Penyumbang