Selasa, 12 Mac 2013
Kawan III
Kawan,
Ditakdirkan kehidupan kita tidak serupa
Kau terpilih menjarah liku besar
Dan aku, pada matamu;
Bahagia dan bersenang-lenang sahaja.
Kawan,
Saat kau mengeluh dengan situasi dunia dan manusia kejam
Selalu aku suruhmu tanam syukur
Berani menghadapi takdir tertulis
Dengan ubat-ubat motivasi
Yang sudah kusuntik
Dengan dos kata-kata peransang
Yang sudah kautelan
Dan kata-kata pegangan
Yang sudah kauhadam
Tetapi, engkau tetap begitu
Seperti pesakit yang menelan ubat, tidak juga sembuh-sembuh
Kerana sentiasa memikirkan kesusahan, tidak yakin kepada Tuhan
Dan engkau berada di dalam duniamu tanpa bergerak seincipun
Mengeluh dan mengaduh akan nasib panas tak berteduh.
Kawan,
Kini satu sahaja yang mampu kukatakan
Sesekali, harus engkau melihat ke bawah
Merenung takdir manusia yang lebih menyedihkan
Atau;
Ya, lihat sahaja diriku yang lebih terkebawah darimu
Adakah aku hidup bersenang-lenang?
Pandang dengan mata hati, kawan!
*Atau engkau patut membaca kisah-kisah motivasi yang membangunkan mimpi dan cita-cita yang bersulam air mata?
Selasa, 19 Februari 2013
Werewolf Boy (Penuh emosi)
Kisah bermula apabila Suni terbang dari US ke Korea Selatan atas urusan penjualan rumah yang telah lama ditinggalkan. Setelah dijemput oleh cucunya, mereka ke rumah tersebut dan bermalam di sana. Saat itulah Suni mengenang memori tahun 1965 (dia berusia 19 tahun) yang mana pada ketika itu dia baru berpindah ke rumah lama tersebut setelah kematian bapanya.
Suatu hari, Suni dan ibunya bertemu dengan budak aneh hidup terbiar; badan berbau, rambut tak terurus, tidak tahu membaca dan bercakap, bersuhu badan 46 darjah dan mempunyai jenis darah yang tidak dikenal pasti.
Ibu Suni turun naik ke balai polis dan pejabat pendaftaran untuk 'mengembalikan' budak aneh itu ke tempat asalnya, tetapi tiada tindakan yang sewajarnya dengan alasan ramai kanak-kanak hidup terbiar dalam perang Korea. Atas sebab itu, ibu Suni membawa budak serigala ini pulang ke rumah dan dijadikan anak angkat yang diberi nama Chul-Soo.
Pada mulanya Suni tidak menyukai Chul Soo kerana tabiat budak lelaki itu seperti serigala (bunyi dan makan seperti binatang), namun lama kelamaan, Suni belajar menerima. Berbekalkan buku pengajaran anjing, Suni mahu mengubah kelakuan budak serigala menjadi manusia semula.
Dalam cerita ini, Suni berperang dengan masalah kesihatan yang kronik manakala Chul Soo berdepan dengan penerimaan masyarakat yang telah menimbulkan konflik yang menyayatkan di akhir cerita.
***
Tanggapan:
Walaupun filem ini terasnya ialah cinta, aku meletaknya lebih kepada hubungan kemanusian (ah, bukankah sama?). Tetapi, cinta yang dibawa itu bukanlah seperti Twilight, cinta lelaki pontianak dengan wanita biasa yang kulihat semakin mengarut apabila muncul Jacob serigala jadian.
Atas tiket lakonan lelaki baik (Nice Guy) aku menonton cerita ini. Cerita yang ditulis oleh pengarahnya sendiri, iaitu Jo Sung Hee tidak menunjukkan sejarah atau sebab musabab mengapa Chul Soo menjadi budak serigala yang liar dan terbiar. Uniknya cerita ini menonjolkan watak Chul Soo (Song Joong Ki) yang hanya berlakon melalui gerak laku dan mimik muka. Hampir keseluruhan cerita Jong Ki tidak mempunyai dialog melainkan pada babak terakhir yang menjurai air mata.
Kemunculan Suni membuatkan karekter serigala bertukar menjadi manusia - menjalani rutin seperti manusia, diajar menulis, membaca dan bermain seperti kanak-kanak biasa. Chul Soo juga mulai berubah menjadi manusia setia, mahukan belaian dan pujian (seperti anjing, mungkin kerana buku manual pengajaran anjing).
Karekter manusia akan berubah semula menjadi serigala dan lebih teruk (ah, kenapa macam hulk) apabila Chul Soo gagal mengawal kemarahan melihat Suni dicederakan. Kerana itu, Chul Soo dikurung dan diburu atas faktor keselamatan masyarakat setempat.
Satu perkataan sahaja yang keluar, "Jangan pergi..."
Filem ini menggamit emosi. Kisah melodrama yang patut ditonton oleh penggemar kisah cinta. Tapi, setelah menonton filem ini bukan sekadar cinta yang akan ditemui, tetapi lebih dari itu.
Oh ya, ini filem Korea. Dan tak ada masalah bagi sesiapapun untuk menontonnya kerana tiada unsur Kpop melainkan lelaki 'bunga' yang berlakon sebagai budak.
4.5 bintang untuk filem ini. Setengah bintang lagi kerana penamat cerita yang tidak disukai oleh penonton yang suka kepada penamat yang menggembirakan.
Isnin, 11 Februari 2013
Rabu, 30 Januari 2013
Kawan II
Berkawan itu seperti memeluk hati
Umpama kelingking berkait memateri janji
Walau hati itu pernah patah
Walau janji itu pernah musnah
Kawan yang baik takkan pernah terasa hati
Apa lagi membiarkan kasih yang diracun itu mati.
*Gambar - The Kite Runner. Kisah yang menggugah jiwa.
Selasa, 29 Januari 2013
PRPM @DBP (Promosi untuk guru)
Bagi yang belum tahu, DBP menyediakan kemudahan yang sangat berguna, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu untuk diakses pada bila-bila masa. Laman web ini boleh membantu pelajar, guru, mahasiswa dan orang ramai bagi mendapatkan maklumat berkaitan Bahasa Melayu.
Laman web ini pernah digunakan di dalam kelas, dikendalikan sendiri oleh murid-murid berdasarkan perkataan atau istilah yang ditetapkan oleh guru. Ternyata penggunaannya memberi kelebihan kepada murid dan guru dari segi penjimatan masa, interaktif dan pengayaan maklumat.
Contohnya seperti gambar berikut;
1. Guru mengarahkan murid menaip url prpm dalam enjin carian.
2. Sesudah itu, akan muncul laman utama. Minta murid taipkan perkataan atau istilah pada ruangan yang disediakan.
Kemudian akan tersenarai beberapa maklumat yang berkaitan, terutamanya makna mengikut kamus dewan edisi keempat ataupun kamus pelajar edisi kedua. *Nota, sebagai guru yang bijak, tetapkan aras pengetahuan murid. Suruh murid pilih makna mengikut kamus pelajar.
3. Kelebihan laman web ini terletak pada maklumat yang terkandung dalam domain-domainnya. Contoh domain - 'panduan', 'perkhidmatan', dan boleh dilihat seperti dalam gambar yang berikut. Untuk guru, domain 'khidmat nasihat' boleh membantu menjelaskan kebuntuan atau kemusykilan terhadap penggunaan bahasa. Guru juga boleh menggunakan domain 'puisi' atau 'peribahasa' untuk mengajarkan kemahiran bernilai tambah dalam diri murid.
4. Yang penting, carian perkataan turut memuatkan maklumat tesaurus. Ada sinonim dan antonim yang boleh membantu murid dalam menambahkan kosa kata.
Moga maklumat ini memberi manfaat. Tidak hanya kepada guru bahkan kepada semua pihak yang cinta akan bahasa Melayu. Tak salah pun kalau nak membelek helaian kamus satu persatu untuk mencari makna. Kelebihannya, kita akan memperoleh dan mempelajari perkataan yang lain secara tidak langsung.
Namun begitu, PRPM ini selain termuat segala sumber maklumat dalam pangkalan data, PRPM memberi kelebihan dari segi penjimatan masa. Cepat dan pantas. Atau lebih tepat frasanya, "maklumat di hujung jari bagi yang rajin mencari."
p/s: Suka membaca pantun dalam domain 'puisi'.
Isnin, 28 Januari 2013
Isnin, 14 Januari 2013
Cerpen - Khairulnizam Bakeri
Dalam buku ini termuat 16 buah cerpen dan satu bonus projek cerpen Hanya Sepuluh yang terdiri daripada perca-perca sepuluh kata luar biasa. Khairulnizam Bakeri telah menghidangkan pelbagai rencah rasa - pahit, manis, lazat, mengiurkan dan ada juga hidangan yang pedas bikin jiwa kebas. Cerita pelbagai rasa ini termasuklah kisah jenayah - polis, muslihat, pikologi, politik, dan kisah benar yang menceritakan sebuah realiti kehidupan manusia.
Selepas novel Pecah, buku kedua ini juga menyengat! Bait-bait katanya semakin berbisa dengan simbol-simbol sinikal khususnya dalam cerpen Pilih, Puncak dan Sumpah. Seperkara yang aku suka mengenai karya KNB ialah cerita yang ditonjolkan itu lain daripada yang lain; banyak aksi dan plot cerita yang memperdaya pembaca.
KNB cukup puitis. Bahasanya berima dalam baris ayat. Ada beberapa perkataan baru yang buat aku mencari maknanya di dalam kamus maya DBP. Aku suka semua cerpen termasuk entri Hanya Sepuluh yang kubaca berulang-kali dengan sungguh-sungguh.
Aku menyeru, belilah, kemudian santap sehingga kenyang. Dan kalian akan gembira.
*Masuk pertandingan, dan menang. Ya, buku inilah hadiahnya. Terima kasih Buku Fixi!
KNB cukup puitis. Bahasanya berima dalam baris ayat. Ada beberapa perkataan baru yang buat aku mencari maknanya di dalam kamus maya DBP. Aku suka semua cerpen termasuk entri Hanya Sepuluh yang kubaca berulang-kali dengan sungguh-sungguh.
Aku menyeru, belilah, kemudian santap sehingga kenyang. Dan kalian akan gembira.
*Masuk pertandingan, dan menang. Ya, buku inilah hadiahnya. Terima kasih Buku Fixi!
Langgan:
Catatan (Atom)