Halaman

Selasa, 19 Februari 2013

Werewolf Boy (Penuh emosi)



Kisah bermula apabila Suni terbang dari US ke Korea Selatan atas urusan penjualan rumah yang telah lama ditinggalkan. Setelah dijemput oleh cucunya, mereka ke rumah tersebut dan bermalam di sana. Saat itulah Suni mengenang memori tahun 1965 (dia berusia 19 tahun) yang mana pada ketika itu dia baru berpindah ke rumah lama tersebut setelah kematian bapanya. 

Suatu hari, Suni dan ibunya bertemu dengan budak aneh hidup terbiar; badan berbau, rambut tak terurus, tidak tahu membaca dan bercakap, bersuhu badan 46 darjah dan mempunyai jenis darah yang tidak dikenal pasti.

Ibu Suni turun naik ke balai polis dan pejabat pendaftaran untuk 'mengembalikan' budak aneh itu ke tempat asalnya, tetapi tiada tindakan yang sewajarnya dengan alasan  ramai kanak-kanak hidup terbiar dalam perang Korea. Atas sebab itu, ibu Suni membawa budak serigala ini pulang ke rumah dan dijadikan anak angkat yang diberi nama Chul-Soo. 

Pada mulanya Suni tidak menyukai Chul Soo kerana tabiat budak lelaki itu seperti serigala (bunyi dan makan seperti binatang), namun lama kelamaan, Suni belajar menerima. Berbekalkan buku pengajaran anjing, Suni mahu mengubah kelakuan budak serigala menjadi manusia semula.

Dalam cerita ini, Suni berperang dengan masalah kesihatan yang kronik manakala Chul Soo berdepan dengan penerimaan masyarakat yang telah menimbulkan konflik yang menyayatkan di akhir cerita.



***

Tanggapan:

Walaupun filem ini terasnya ialah cinta, aku meletaknya lebih kepada hubungan kemanusian (ah, bukankah sama?). Tetapi, cinta yang dibawa itu bukanlah seperti Twilight, cinta lelaki pontianak dengan wanita biasa yang kulihat semakin mengarut apabila muncul Jacob serigala jadian. 

Atas tiket lakonan lelaki baik (Nice Guy) aku menonton cerita ini. Cerita yang ditulis oleh pengarahnya sendiri, iaitu Jo Sung Hee tidak menunjukkan sejarah atau sebab musabab mengapa Chul Soo menjadi budak serigala yang liar dan terbiar.  Uniknya cerita ini menonjolkan watak Chul Soo (Song Joong Ki) yang hanya berlakon melalui gerak laku dan mimik muka. Hampir keseluruhan cerita Jong Ki tidak mempunyai dialog melainkan pada babak terakhir yang menjurai air mata. 

Kemunculan Suni membuatkan karekter serigala bertukar menjadi manusia - menjalani rutin seperti manusia, diajar menulis, membaca dan bermain seperti kanak-kanak biasa. Chul Soo juga mulai berubah menjadi manusia setia, mahukan belaian dan pujian (seperti anjing, mungkin kerana buku manual pengajaran anjing). 

Karekter manusia akan berubah semula menjadi serigala dan lebih teruk (ah, kenapa macam hulk) apabila Chul Soo gagal mengawal kemarahan melihat Suni dicederakan. Kerana itu, Chul Soo dikurung dan diburu atas faktor keselamatan masyarakat setempat.


Satu perkataan sahaja yang keluar, "Jangan pergi..."


Filem ini menggamit emosi. Kisah melodrama yang patut ditonton oleh penggemar kisah cinta. Tapi, setelah menonton filem ini bukan sekadar cinta yang akan ditemui, tetapi lebih dari itu.

Oh ya, ini filem Korea. Dan tak ada masalah bagi sesiapapun untuk menontonnya kerana tiada unsur Kpop melainkan lelaki 'bunga' yang berlakon sebagai budak. 

4.5 bintang untuk filem ini. Setengah bintang lagi kerana penamat cerita yang tidak disukai oleh penonton yang suka kepada penamat yang menggembirakan. 

Tiada ulasan:

Pengikut

Penyumbang