Halaman

Sabtu, 13 Ogos 2011

Untai Kata 1

Orang berilmu dan beradab  tidak akan diam di kampung halaman
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang.

Aku melihat air menjadi rosak kerana diam tertahan
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak, akan keruh menggenang

Singa jika tidak tinggalkan sarang tidak akan dapat mangsa
Anak panah jika tidak tinggalkan busur tidak akan kena sasaran

Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan terus diam
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang

Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang
Kayu gaharu tidak ubahnya seperti kayu biasa
Jika di dalam hutan.

Imam Syafie

Dipetik daripada  novel Negeri 5 Menara.

Khamis, 23 Jun 2011

Patriarch - SN Shanon Ahmad


Assalamualaikum,


Lama untuk memahami makna kedua novel ini. Novel ini patut dibaca oleh pemimpin, bakal pemimpin dan rakyat yang bernaung di bawah pemimpin. SN Shahnon telah menggarap dengan penuh jelas akan kebusukan sikap pemimpin yang rakus dan kebencian yang maha hebat rakyat yang ditindas terhadap pemerintah agung mereka. 

Sesekali teknik imbas kembali dan sorotan mimpi-mimpi ngeri sukar ditelan. Semampunya perlu dihubungkaitkan melalui watak demi watak yang diperkenalkan seperti Pak Hamad dan Mak Lebar di Chuping, Mek Besah di Kedai Lalat, Kota Bharu, Watak Budin dan gengnya - Heavy Metal The Bloody Hell Group di Kota Darulaman, watak Wak Da, Romlah dan pekerja kelapa sawit di Kulai Johor serta peranan Adi Tumpang dan Jusuh Hitam.

Watak-watak ini yang menjadi golongan bawahan yang amat membenci Patriach. Salah satunya adalah melalui watak Adi Tumpang dan Jusuh Hitam - penulis skrip dan pengarah drama yang mahu mengajak dan menyedarkan penonton dan rakyat melalui perjuangan menentang sistem pemerintahan pincang dalam drama 'Patriarch'.

Membaca novel ini seperti tidak boleh lari akan 'tabiat' suami isteri antara Patriarch dan Hamidah. Penulisan yang berulang-ulang. Begitu juga dengan tabiat meludah yang digambarkan dengan penuh teliti.(paling terkesan). Walaubagaimanapun, sekotor-kotornya ludahan itu boleh lagi mengawal rasa loya berbanding SHIT yang boleh memuntahkan segala isi perut.

Cerita ini mesejnya mengenai pemimpin dan rakyat. Jelas sekali dalam perenggan akhir novel yang cukup ironis;

"Dan seperti yang biasa berlaku di mana-mana bumi sekalipun, pemimpin baru akan muncul. Dan pemimpin-pemimpin itu akan dibunuh oleh rakyat juga kecuali yang benar-benar bertanggungjawab, beramanah, yang sanggup menunaikan janji dan yang sedia berkorban untuk hidup dan untuk mati bersama rakyat."


Selesai membaca novel ini, dapat kukatakan bahawa hati rakyat bukan tanah untuk diladangi oleh pemimpin yang penuh dengan janji yang manis menggula. Hati rakyat juga bukanlah sekeping kertas kosong untuk pemimpin mencoretkan topeng kemanusian. SN Shahnon Ahmad adalah pejuang yang membawa kesedaran, mengajak pembacanya menjadi soldadu pembebasan pemikiran.

Rabu, 8 Jun 2011

Sang Pemimpi


Assalamualaikum,



Selepas membaca novelnya, baru kutonton filem ini. Watak Arai remaja menjadi sang pemimpi yang memberi inspirasi.

Kata Arai, "Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati...."

Ya, kita boleh bermimpi kerana mimpi itu percuma, tetapi harganya mahal untuk dilaksana. Filem ini bagus untuk ditonton kepada sesiapa yang punya mimpi. Kepada setiap orang yang punya impian dan harapan yang seiring dengan daya dan usaha.

Dalam novel Sang Pemimpi, Andrea Hirata telah mengkritik produser filem dengan mengatakan:

...Para produser filem tidak tertarik untuk memproduksi filem berat yang misalnya membina semula sejarah. Ini kerana ia hanya akan mengurangkan jumlah penonton dalam filem yang kami tonton ini jelas tidak mampu mengarahkan setiap pelakon agar tidak membawakan dialog seperti mendeklamasi. Namun tidak mengapa, penonton tetap berduyun-duyun. Malah produser dan pengarah telah berkonspirasi mengumpulkan rupiah demi rupiah daripada penonton yang bodoh atau yang mereka bodohi.

dan jika anda seorang produser filem dan ingin untung besar, maka pakailah pengarah yang otaknya bebal..."


FS: kalau rindu kepada watak-watak sebelas anggota Lasykar Pelangi, boleh baca Maryamah Karpov.

Sabtu, 28 Mei 2011

Sejenak di Muzium Padi yang sendat


Assalamualaikum,

Hari ini merupakan kali kedua menjejakkan kaki ke Muzium Padi walaupun dekat sahaja muzium ni dengan kampung. Lebih kurang 15 minit. Apa yang dapat dirumuskan, Muzium Padi sudah ada perubahan. Tahun lepas, ada kerosakan pada platform kerusi berputar dekat aras tiga, sekarang sudah dibaik pulih. Kerusi sudah boleh berputar-putar sambil menghayati pemandangan mural yang menakjubkan!




Pemandangan waktu senja - pemandangan musim menanam padi.

Mural Empangan Pedu

Muzium ini mempunyai 3 aras, Aras 1 lebih kepada alat-alat pertanian, aras 2 mempunyai galeri-galeri lukisan seperti lukisan di atas dan dokumentari penanaman padi manakala aras 3 memaparkan satu pemandangan seakan berada di puncak Gunung Keriang.
Untuk sampai ke aras 3, pengunjung perlu mendaki 59 anak tangga. Bagi yang mula-mula sampai ke atas dan dalam situasi termengah-mengah mungkin akan mengalami pening-pening kerana mural hebat ini seakan 3 dimensi. 











Hasil temu ramah dengan pengawal muzium, mural 8 meter tinggi,103 meter panjang ini dilukis oleh pelukis-pelukis dari Korea Utara. Harganya bernilai RM 9.3 Juta. Rata-rata pengunjung tak henti-henti mengambil gambar terutamanya pelancong asing. Walaupun aku sudah pernah melihat, rasa kagum dan teruja tetap ada. Kagum kerana lukisan itu seakan-akan hidup. Kagum lagi dengan penceritaan yang terpamer. Suasana itu terlalu klasik untuk dikenakan dengan zaman pertanian moden ini. 


 Lesung Hindik

Replika Rumah ini dipanggil Jelapang. Digunakan untuk menyimpan padi.

Bakul besar itu namanya 'Kepuk', juga menyimpan padi.




Muzium Padi dibuka setiap hari kecuali Hari Raya Aidilfitri & Aidiladha. Bayaran masuk RM 3 bagi orang Dewasa dan RM 1 untuk kanak-kanak, rasanya berbaloi untuk kita tahu sejarah makan ruji yang hari-hari masuk ke dalam perut kita. 

Suatu hari aku akan datang lagi. Mungkin dengan rombongan murid-muridku. He he



FS: Sebelah Muzium Padi ada Pusat Sains Wilayah Utara. Masuknya percuma tetapi orangnya tiada. Sunyi sepi. 


Khamis, 5 Mei 2011

Turun


Dalam banyak-banyak benda, inilah anugerah Tuhan yang tak pernah naik melainkan terus-terusan turun menikam bumi. Hukum alam ini terkadang mengganggu aturan manusia. Manusia perlu tunggu reda dan mencari tempat berteduh sebelum melakukan misi yang tertangguh. Ada manusia mengeluh. Ada manusia takut akan iringannya bersama guntur yang mengaum. Ada juga manusia yang ternanti-nanti dengan tadahan syukur. Anugerah Tuhan ini menyuburkan bumi dan menyejukkan hati. Ada hikmah yang tersembunyi. 




Hujan. Bagi penyair resah, iramanya cukup indah. 
Hujan. Bagi penjual payung di jalanan, titisnya menguntungkan.
Hujan. Bagi petani dahaga, rahmatnya membuahkan ceria.
Hujan. bagi tanah gersang, hadirnya mengairi taman kontang.
dan bagilah hujan kepada sesiapa sahaja, turun airnya pasti mempunyai makna.



Nota Hati: Harapnya dengan hujan juga dapat menyejukkan hati dek kenaikan harga minyak yang nampak gaya akan naik lagi.


Jumaat, 18 Mac 2011

Lasykar Pelangi


Assalamualaikum,

Sebetulnya, novel ini telah mengembalikan nostalgia semasa zaman kecil; zaman bersekolah di luar bandar. Apa lagi novel ini dekat dengan dunia pendidikan yang digarapkan dengan metafora seni bersalut ilmu yang sarat.

Laskar Pelangi mengisahkan sebelas orang anak Melayu Belitong yang luar biasa - Ikal, Lintang, Mahar, Syahdan, Trapani, Kucai, Samson, Borek, A Kiong, Harun dan Flo. Mereka anak sekolah yang berlatarbelakangkan sosioekonomi yang tercorot (kecuali Flo) di tanah yang kaya dengan sumber timah. Dalam kalangan sebelas orang anak Melayu yang menggelarkan diri mereka anggota Lasykar Pelangi ini ada tiga watak utama yang dominan, iaitu Ikal si pencerita, Lintang budak pintar cerdas (genius) dan Mahar insan  yang punya bakat seni yang maha tinggi. Lintang dan Mahar inilah yang menaikkan kembali nama sekolah yang sering dipandang sipi oleh golongan berada.


Apa yang menarik, Andrea Hirata menonjolkan pentingnya pendidikan. Dalam ceritanya, alasan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah paling miskin di daerah Belitong adalah kerana sekolah itu tidak menetapkan sebarang yuran, SK Muhammadiah ini sekolah yang menerapkan unsur islam dan alasan ketiga adalah kerana tiada satu sekolah pun mahu menerima anak-anak jembel ini melainkan SK Muhammadiah yang hanya menunggu masa untuk roboh. Namun, semangat mahu belajar itu utuh dalam diri budak-budak ini. Buktinya ada pada Lintang, budak pesisir yang berkayuh 20 kilometer dan sampai sahaja ke sekolah hanya sempat menyanyikan lagu "Hanya Padamu Negeri". 



Novel ini turut mendalami jerih guru yang mengajar tanpa mengira tanda jasa, cuma menerima upah beras 15 kilogram beras setiap bulan. Boleh dibayangkan bagaimana seorang guru mengajar semua mata pelajaran dan bekerja mengambil upah menjahit untuk menyara diri dan keluarga. Ini ayat yang cukup menampilkan erti guru yang sebenar.

"Seorang sahabat pernah mengatakan bahawa guru yang pertama kali membuka mata kita akan huruf dan angka-angka sehingga kita pandai membaca dan menghitung tidak akan putus-putus pahala sehingga akhir hayatnya. Aku setuju dengan pendapat itu, Dan tidak hanya itu yang dilakukan oleh guru. Dia juga membuka hati kita yang gelap gelita."

Barangkali Andrea Hirata seperti mahu memperkenalkan pembacanya tentang minatnya dalam bidang botani, biologi dan geologi. Dalam garapannya, begitu sarat dengan nama-nama saintifik tumbuh-tumbuhan dan binatang. Anda tahu apa itu Pilea, Lais, Knautia, Chyisis, Tainia Shimadai dan Agathis? Percayalah, banyak lagi istilah saintifik yang dimuatkan dalam novel ini dan turut dijelaskan dalam glosari lebih 20 muka surat. 

Biarpun ilmu yang diserap itu mungkin berat bagi sesetengah orang dan penceritaan lebih berfokus kepada watak demi watak, terselit juga cinta monyet,  moral, jenaka dan sinis yang boleh diteladani dan dinilai.

Petikan untuk difikir dan direnung:

"...Bagaimanapun terbatas keadaannya, berhak memiliki cita-cita dan keinginan yang kuat untuk mencapai cita-cita itu mampu menimbulkan prestasi-prestasi lain sebelum cita-cita sesungguhnya tercapai. Keinginan kuat itu juga memunculkan kemampuan-kemampuan besar yang tersembunyi dan keajaiban-keajaiban di luar jangkaan..."



p/s: Lasykar Pelangi turut diadaptasi ke layar perak. 





Selasa, 8 Mac 2011

Abang tentera






Mereka bukan sahaja hebat di udara, cekap mematahkan serangan pengganas, seharian bermain senjata, tetapi juga merupakan tentera yang mesra kanak-kanak dan hebat dalam gelanggang memasak!

Gambar kedua lebih dramatik, kes budak yang kehilangan ibu bapa yang terlalu teruja melihat kegagahan abang-abang tentera darat Malaysia.

Input yang paling berharga sepanjang berada di Dataran Merdeka.

Pengikut

Penyumbang