Halaman

Sabtu, 19 April 2014

Kucing dan kaki

Makanan tengahari Salim biasa-biasa saja. Tidak banyak mata. Ikan kembong rebus, gulai ikan kembong, dan sayur kangkung yang dipetik isterinya di belakang rumah.

Itu rezeki mereka sekeluarga hari ini. Mereka patut bersyukur.
Sedang enak menggaul nasi, Jingga nama kucing tumpangan yang datangnya dari mana menggesel-gesel bulu lebatnya pada kaki Salim. Tidak lupa mengiau simpati. Dulu, Salim cukup pantang jika ada kucing menganggunya makan. Sepak dan pukullah hukumannya. Salim puas dalam hati tanpa belas.
Kini tidak. Kucing itu menarik-narik simpatinya. lebih-lebih lagi, Jingga itu kesayangan anak-anaknya.
Salim hela nafas. Seekor ikan kembong rebus di dalam pinggannya dipatah dua kemudian separuh darinya digaul bersama nasi diberi kepada Jingga. Jingga mengiau lagi seakan mengucap terima kasih.
Tak lama kemudian, Putih pula menerpa, menumpang sekaki makanan Jingga. Jingga menderam, memberi amaran, ’ini makanan aku’. Putih berhenti. Duduk memerhati Jingga nan lahap dengan harap akan ada sisa-sisa tinggalan untuknya. Tetapi yang tinggal hanya sisa kecewa. Isi pinggan kosong. Jingga kenyang berlalu pergi. Tinggal Putih pula menyambung simpati.
Geselan Putih pada kaki Salim buat Salim berhenti makan. Akhirnya, semua makanan dalam pinggannya diberi kepada Putih. Dia senyum sedang isterinya memandangnya sayu.

"Sat lagi jangan lupa cucuk insulin."

Salim pandang isterinya tanpa perasaan. Bosan dengan ingatan itu saban hari.
"Macam mana malam nanti?" tanya isterinya tak semena.
"Macam mana apa?" tanya Salim kepada isterinya pula.
"Beras dah habis."
Salim diam. Dia lihat mata isterinya dalam. Dia teringat anak-anaknya di sekolah belum makan. Dia lihat putih gelojoh. Dan dia lihat Jingga menjilat-jilat bulunya di tepi kerusi rodanya.
Kemudian dia lihat kakinya nan satu. Balasan dosa yang dilakunya dahulu.

Ahad, 23 Mac 2014

Impian 5cm di hadapan kening




Mulanya di awal cerita kubayangkan filem ini seputar tentang persahabatan dan percintaan. Namun lebih dari itu. Yang nampak besar jiwanya ketika di pertengahan cerita sampailah ke akhirnya adalah semangat nasionalisme. Semangat patriotiknya. 

Ini sudah masuk beberapa filem Indonesia yang kutonton telah mengibar dan menjulang Sang Saka Merah Putih.

Dalam 5cm, Sang Saka Merah Putih ini dijulang di atas puncak Mahameru. Bukti cinta pada negara yang melangit dengan jati diri yang membumi. Sungguh, babak ucapan di puncak Mahameru bersama deraian semangat meluap-luap oleh 5 sahabat itu serupa kata-kata magis yang meresap.

5cm sebuah filem yang cantik. Bukan setakat cantiknya pemandangan di dalamnya, tetapi cantiknya erti sahabat yang mengejar cita-cita 5 sentimeter di hadapan kening. 

4* kerana jiwa filem ini gratis!

Pengikut

Penyumbang