Halaman

Rabu, 30 Januari 2013

Kawan II


Berkawan itu seperti memeluk hati
Umpama kelingking berkait memateri janji
Walau hati itu pernah patah
Walau janji itu pernah musnah
Kawan yang baik takkan pernah terasa hati
Apa lagi membiarkan kasih yang diracun itu mati.



*Gambar - The Kite Runner. Kisah yang menggugah jiwa.

Selasa, 29 Januari 2013

PRPM @DBP (Promosi untuk guru)


Bagi yang belum tahu, DBP menyediakan kemudahan yang sangat berguna, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu untuk diakses pada bila-bila masa. Laman web ini boleh membantu pelajar, guru, mahasiswa dan orang ramai bagi mendapatkan maklumat berkaitan Bahasa Melayu.  

Laman web ini pernah digunakan di dalam kelas, dikendalikan sendiri oleh murid-murid berdasarkan perkataan atau istilah yang ditetapkan oleh guru. Ternyata penggunaannya memberi kelebihan kepada murid dan guru dari segi penjimatan masa, interaktif dan pengayaan maklumat. 

Contohnya seperti gambar berikut;
1. Guru mengarahkan murid menaip url prpm dalam enjin carian.
2. Sesudah itu, akan muncul laman utama. Minta murid taipkan perkataan atau istilah pada ruangan yang  disediakan. 

 

Kemudian akan tersenarai beberapa maklumat yang berkaitan, terutamanya makna mengikut kamus dewan edisi keempat ataupun kamus pelajar edisi kedua. *Nota, sebagai guru yang bijak, tetapkan aras pengetahuan murid. Suruh murid pilih makna mengikut kamus pelajar. 

3. Kelebihan laman web ini terletak pada maklumat yang terkandung dalam domain-domainnya. Contoh domain - 'panduan', 'perkhidmatan', dan boleh dilihat seperti dalam gambar yang berikut. Untuk guru, domain 'khidmat nasihat' boleh membantu menjelaskan kebuntuan atau kemusykilan terhadap penggunaan bahasa. Guru juga boleh menggunakan domain 'puisi' atau 'peribahasa' untuk mengajarkan kemahiran bernilai tambah dalam diri murid. 

4. Yang penting, carian perkataan turut memuatkan maklumat tesaurus. Ada sinonim dan antonim yang boleh membantu murid dalam menambahkan kosa kata.


Moga maklumat ini memberi manfaat. Tidak hanya kepada guru bahkan kepada semua pihak yang cinta akan bahasa Melayu. Tak salah pun kalau nak membelek helaian kamus satu persatu untuk mencari makna. Kelebihannya, kita akan memperoleh dan mempelajari perkataan yang lain secara tidak langsung. 

Namun begitu, PRPM ini selain termuat segala sumber maklumat dalam pangkalan data, PRPM memberi kelebihan dari segi penjimatan masa. Cepat dan pantas. Atau lebih tepat frasanya, "maklumat di hujung jari bagi yang rajin mencari."


p/s: Suka membaca pantun dalam domain 'puisi'. 

Isnin, 14 Januari 2013

Cerpen - Khairulnizam Bakeri



Dalam buku ini termuat 16 buah cerpen dan satu bonus projek cerpen Hanya Sepuluh yang terdiri daripada perca-perca sepuluh kata luar biasa. Khairulnizam Bakeri telah menghidangkan pelbagai rencah rasa - pahit, manis, lazat, mengiurkan dan ada juga hidangan yang pedas bikin jiwa kebas. Cerita pelbagai rasa ini termasuklah kisah jenayah - polis, muslihat, pikologi, politik, dan kisah benar yang menceritakan sebuah realiti kehidupan manusia. 

Selepas novel Pecah, buku kedua ini juga menyengat! Bait-bait katanya semakin berbisa dengan simbol-simbol sinikal khususnya dalam cerpen Pilih, Puncak dan Sumpah. Seperkara yang aku suka mengenai karya KNB ialah cerita yang ditonjolkan itu lain daripada yang lain; banyak aksi dan plot cerita yang memperdaya pembaca.

KNB cukup puitis. Bahasanya berima dalam baris ayat. Ada beberapa perkataan baru yang buat aku mencari maknanya di dalam kamus maya DBP. Aku suka semua cerpen termasuk entri Hanya Sepuluh yang kubaca berulang-kali dengan sungguh-sungguh.

Aku menyeru, belilah, kemudian santap sehingga kenyang. Dan kalian akan gembira.


*Masuk pertandingan, dan menang. Ya, buku inilah hadiahnya. Terima kasih Buku Fixi!

Pengikut

Penyumbang