Halaman

Sabtu, 23 Jun 2012

Catatan Hati Nik Nur Madihah - kisah mengharukan


"Yang pertama, jangan bercita-cita nak jadi doktor, peguam, jurutera dan sebagainya. Itu adalah cita-cita nak makan gaji. Tapi, tanamlah azam untuk jadi orang cerdik. Kalau kita cerdik, InsyaAllah kerja akan datang sendiri kepada kita." - Ayah Nik Nur Madihah.


Selesai membaca buku ini dua hari lepas. Buku ini penuh dengan catatan kisah suka dan duka seorang pelajar, anak dan hamba Allah. Seperti kita tahu, Nik Nur Madihah merupakan pelajar SPM terbaik seluruh Malaysia tahun 2008 yang mana telah meraih 20 A (19 A1 1 A2). 

Di dalamnya terdapat catatan hati seorang anak nelayan yang terpaksa bertarung dengan kesempitan hidup.  Tidaklah  dia menjadikan kesusahan itu sebagai halangan untuk menempuh kejayaan. Kemiskinan dijadikannya sebagai asas motivasi untuk berjaya dan mengubah kehidupan keluarganya. 

Sesuatu yang menarik dan boleh dijadikan ikutan, Nik Nur Madihah sentiasa melakukan tahajud, solat sunat dhuha dan berpuasa sunat pada tiap Isnin dan Khamis. Selain itu, dia suka kepada buku bergenre penyiasatan dan sejarah islam kerana buku-buku sebegini boleh mencucuh pemikirannya. 

Buku ini selain juga penuh dengan tips-tips belajar, boleh juga menjadi tulisan motivasi atau tulisan untuk kita mensyukuri, betapa kekayaan bukanlah penentu kepada sesuatu kejayaan. Sungguh, buku ini sangat mengharukan bagi yang tahu atau pernah mengharung erti kesusahan!


Ahad, 3 Jun 2012

Kehilangan Nama

i
Kerana kau seorang yang tak bernama
Kau akan ditangkap
Jika politikmu lain dari yang ditentu.
Kerana kau seorang yang tak bernama
Pondokmu akan dirobohkan
Jika kau tidak mengisi borang permintaan.
Kerana kau seorang yang tak bernama
Tanah yang baru diteroka akan diambil
Jika kau tak punya surat T.O.L.
Kerana kau seorang yang tak bernama
Bahasamu harus dikorbankan
Jika tidak kau dituduh perkauman.

ii
Siapa sahaja selain daripada nama tak bernama
Boleh berontak boleh berteriak selantang suara
Dia akan dipujuk diusapi hati marahnya.
Jika ia ada di sebuah pulau
Pulau itu akan dianugerahkan kepadanya;
Jika ia ada di dalam negeri 
Marilah tinggal di residency;
Jika ia ada di wilayah timur
Para pemimpin akan mengunjunginya
Membujuk dan menjanjikan tiap permintaan.

iii
Apabila kau seorang tak bernama
Jangan kautanya ladang-ladang itu siapa punya
Jangan kautanya kemerdekaan dan pangkalan tentera
Jangan kautanya lombong-lombong itu milik siapa
Jangan kaugusar pada bangunan yang besar
Jangan kausebutkan nama-nama sekolah yang makmur
Dan bertanyakan apa bahasa pengantar;
Dengan pertanyaan itu kau akan dimurkai
Seorang perkauman yang dibenci
Oleh juara bangsamu sendiri.

iv
Seorang yang namanya tak bernama
Tinggallah di pondok buruk itu
Jika pondok itu pusaka halal bagi moyangmu;
Tanamlah padi di sawah kecil terpencil
Jika sawah itu warisan sah dari ayahmu;
Berdirilah di tangga bangunan dengan songkok dan samping
Jika kau beroleh jawatan budak suruhan;
Menorehlah di ladang-ladang besar
Bekerjalah di lombong-lombong saudagar
Jika kau mendapat kartu seorang buruh;
Hantarlah anak-anakmu di sekolah berdekatan
Yang kita megahkan dengan nama 'kebangsaan'.

Demikianlah kau telah kehilangan nama
Yang telah dikebumikan dalam seribu ucapan.

Usman Awang, 1967


Buku ini tertemu dalam perpustakaan, dan sengaja kulekatkan puisi UA di dalam blog ini seraya memikirkan sudah lama NAMA bangsaku  ditelanhilangkan oleh JUARA bangsanya sendiri. 



Pengikut

Penyumbang