Halaman

Sabtu, 24 Disember 2011

Hafalan Solat Delisa - Tragedi Mahal


"...Marah dan menangis itu satu jenis. Kalian akan menangis jika amat marah. Menangis itu juga satu jenis dengan senang. Kalian akan menangis jika amat gembira. Dan tentu sahaja menangis itu benar-benar satu jenis dengan sedih. Kalian akan menangis kalau sedih..." 
 HSD m.s  32

Garapan Tere Liye sepertinya telah mengembalikan tragedi mahal yang menggemparkan dunia - TSUNAMI. Tarikh 26 Disember 2004, pagi yang redup. Ya, aku masih  merasai gegaran biarpun tempat aku bukanlah berdekatan dengan laut. Hebat, amukan laut. Hebat kuasa TUHAN.













Itulah gambaran peristiwa yang telah digarapkan dalam novel Hafalan Solat Delisa. Tragedi tsunami yang melanda Daerah Lhok Nga, Banda Acheh. Tere Liye telah menyusun tinta penyedar, penuh keinsafan terhadap penerimaan musibah dan kematian melalui reda si anak kecil - Delisa.

Pagi 26 Disember 2004 itu, lautan merusuh. Tika itu Delisa sedang melewati ujian amali solat. Biar gempa hebat dicampur jerit pekik dan huru hara, Delisa meminta satu kepada Tuhan, iaitu berinya kekhusyukan. Delisa tidak berganjak menghabiskan bacaan solatnya biarpun ombak ganas melibas apa sahaja. Namun, gelombang itu hebat telah melemparnya ke sana ke mari. Delisa pengsan dan tidak sempat menyempurnakan sujudnya.

Kuasa Tuhan, Delisa terselamat. Biarpun keadaan tubuhnya menyedihkan, tetapi berseri-seri. Bercahaya dilitupi bunga-bunga putih tatkala mahu diselamatkan Prebet Smith. Dan waktu itulah, hidayah singgah. Tahukah mengapakah tubuh Delisa berseri-seri? Itulah kuasa Tuhan. Anugerah kepada si kecil yang tidak gentar pada amukan laut kerana mahu bersujud dan menyudahkan hafalan solatnya.

Buku ini adalah kisah sebelum, semasa dan selepas tragedi tsunami. Bencana yang dihadapi oleh Delisa membuatkan dia hilang ibu, kakak-kakaknya dan juga kaki kecilnya. HSD kisah mengenai anak kecil yang cekal menghadapi tragedi di samping kecekalannya menghabiskan hafalan solat.

Trailer HSD untuk lebih memahami.




HSD telah difilemkan. Prebet Smith yang menerima hidayah dan kemudiannya memeluk islam setelah menyelamatkan Delisa, kacak juga ya! Sudah beberapa tahun tragedi ini berlaku. Tragedi ombak mahal yang bukan sekadar diingati melalui tarikhnya, akan tetapi perlu diingati konotasi Tuhan. Adakah benar, bacaan solat kita sempurna ketika berhadapan denganNya? Tere Liye mengajak kita menekankan kekhusyukan ibadah yang satu itu.

Jumaat, 9 Disember 2011

Aku, Pen dan Buku

Pen dan buku
membuatkan aku
bercakap bila perlu
menulis semahu-mahu
berfikir yang tentu-tentu.

Pen dan buku
adalah sahabatku
berbanding rakan sampingku
ada semasa gembiraku
pupus kala hina sedihku.

Pen dan buku
padamu sahaja aku cerita
rahsia hatiku
kala suka dan libang libu.

Farhana Sukre
IPG Kampus Bahasa Melayu

Majalah Tunas Cipta Disember 2011

Pengikut

Penyumbang